Friday, 14 January 2011

TERAS KELIMA NKRA TERABAI DI SABAH



ROSAK…Citra berdiri menunjukkan struktur Jalan Tingkayu yang mempunyai bonjolan batu besar, berlopak besar dan tidak sesuai untuk laluan kenderaan ringan.

Oleh: IBRAHIM TABIR

JALAN Tingkayu yang menghubungkan Sekolah Kebangsaan (SK) Binuang, salah satunya sekolah rendah luar bandar di daerah ini tidak lagi sempurna untuk dilalui oleh kebanyakan kenderaan ringan kerana terdapat banyak lubang, berlopak selain batuan membonjol telah menyukarkan pengguna, terutama pemandu kenderaan yang menggunakan laluan alternatif tersebut.

"Jalanraya ini berhabuk pada musim kemarau. Berlopak masa musim hujan. Kenderaan ringan seperti kancil, proton dan van sukar melaluinya kerana terdapat banyak bonjolan batu besar dan tajam di atas jalanraya itu", kata Aktivis Masyarakat, Citra Masadi memberitahu wartawan ketika melawat lokasi jalan berkenaan.

Berkongsi pengalaman dengan seorang guru baru-baru ini yang terpaksa menanggung kos perbelanjaan tinggi kerana kereta Proton Persona miliknya bocor di bahagian bawah kenderaan, Citra berkata kerosakan serius itu menyebabkan kenderaan tersebut tersadai di atas jalanraya dan ditarik keluar pada hari berikutnya.

"Saya sempat merakamkan detik cemas itu dan menurut rakan guru itu, semua minyak enjin keretanya habis akibat mengalami kebocoran pada crancase di bahagian bawah kenderaan", kata beliau yang juga bekas calon Parti Keadilan yang pernah bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun 2004 di DUN Kunak.

Menurut Citra lagi, Jalan Tingkayu telah wujud sekian lama, merupakan laluan alternatif kepada guru-guru, termasuk penduduk yang tinggal di luar bandar terutama mereka yang bekerja di estet. Jalan Tingkayu sebagai jalan utama menghubungkan beberapa kawasan ladang kelapa sawit milik syarikat perladangan di sana.

Laluan utama itu juga digunakan ke Pusat Timbang milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kunak yang terletak di Tingkayu.

"Saya juga maklum yang wakil rakyat pernah menyuarakan bahawa Jalan Tingkayu akan dinaiktaraf dalam RMK-10 (Rancangan Malaysia Kesepuluh) seperti yang disiarkan dalam akhbar tempatan tahun lalu," ujarnya menambah semasa kempen pilihanraya tahun 2008 di sebuah estet di sana, wakil calon parti kerajaan juga berjanji akan membawa perkara tersebut (Jalan gravel Tingkayu) itu untuk dilaksanakan projek penurapannya.

Namun menurut Citra, jabatan yang berkenaan seperti JKR sudah tidak lagi menyelenggara jalan gravel Tingkayu itu sehingga keadaannya rosak teruk kerana kenderaan berat kerap menggunakan laluan utama tersebut.

Beliau berkata, keperluan untuk menaiktaraf Jalan Tingkayu itu sudah tentu akan menambahbaik kelancaran lalu lintas di kawasan berkenaan dan memudahkan penduduk yang tinggal jauh dari kawasan pekan boleh berasa selesa jika aspek ini diambil perhatian segera.

Menambah bahawa, teras kelima Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan Perdana Menteri pada tahun 2009 ialah memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman. Sebagai bukti tahap kebersungguhan kerajaan untuk menjayakan rencana itu, pihak yang diberi tanggungjawab di peringkat daerah termasuk wakil rakyat perlu sentiasa turun padang dan melihat permasalahan itu untuk menjayakan matlamat berkenaan, katanya.

Citra berkata, kawasan pedalaman di sana juga terdapat produk pelancongan yang berpotensi untuk dimajukan seperti kolam air panas masin, lumpur mendidih dan tapak arkeologi tamadun awal manusia di Tingkayu.

"Semua tempat itu dihubungkan melalui Jalan Tingkayu yang masih mundur dan serba kekurangan ini", katanya sambil memberitahu, di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) tapak tamadun awal manusia di Tingkayu adalah suatu lokasi yang tersenarai dalam pelan pembangunan kerajaan negeri.

Oleh itu, kata Citra, penurapan Jalan utama Tingkayu ini jika dilaksanakan adalah hadiah yang sangat berharga bukan sahaja kepada penduduk yang tinggal di kawasan sana malah semua penduduk Kunak amnya termasuk pelancong luar.

No comments:

Post a Comment