Sunday, 14 August 2011

BANGUNAN USIA SEMPORNA MILIK SIAPA?



Oleh: CITRA MASADI

PERTEMUAN saya dengan Mantan Pegawai Khas (Risikan) Allahyarham Tun Mustapha, Abdullahsani Haji Abdul Salleh, di Semporna baru-baru ini telah membongkar misteri Bangunan Menara Usia Semporna yang dirampas secara culas oleh Yang Di Pertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia), Tun Sakaran Dandai.

Kata Abdullahsani, Sakaran telah memperdaya lebih 100 cawangan USNO bahawa kononnya beliau yang membayar premium tanah bangunan berkenaan sejumlah RM60,000 dan sebagai balasannya beliau mengambil dua lot bangunan empat tingkat tersebut sebagai miliknya dan selebihnya diserahkan kepada USNO.

Penipuan Sakaran, kata Abdullahsani, hanya terbongkar sepuluh tahun kemudian setelah orang kepercayaan Tun Mustapha, Ridi Alawangsa memberitahu bahawa Tun Mustapha telah mengembalikan wang Sakaran yang digunakan untuk membayar premium tanah berkenaan.

Menurut Abdullahsani, beliau kesal kerana Bangunan USNO Semporna dibina pada 1970-an atas derma para pejuang dan bukannya dibina dengan peruntukan individu, apatah lagi permohonan tanah didaftarkan atas nama Penghulu Haji Hindi Basarani.

Allahyarham Tun Mustapha, kata Abdullahsani, telah menyerahkan semua harta USNO kepada Usia secara lisan tanpa ‘hitam putih’ menyebabkan Sakaran yang memimpin Usia ketika itu begitu rakus merampas sebahagian harta yang didermakan USNO sebagai milik peribadinya.

Bersetuju dengan pandangan Abdullahsani, saya juga hairan bagaimana harta USNO dan Usia ini boleh dipindahmilik kepada Sakaran masih menjadi persoalan utama kerana sehingga kini Usia belum melantik sebarang Pemegang Amanah kerana semua pemimpin Usia, termasuk Yang DiPertuanya tidak amanah.

Merujuk kepada Fasal 55 dan 56 Perlembagaan Usia, menjelaskan bahawa sebuah badan penjaga harta dan pemegang amanah wajib dilantik untuk menjaga semua harta Usia yang diperolehi melalui apa cara sekalipun, tetapi kata Abdullahsani, Sakaran telah mengkendurikan semua harta Usia untuk dirinya.

Sehubungan itu, tiba masanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia menyiasat modus operandi ‘mencuri’ harta Usia dilakukan oleh Sakaran tanpa sebarang sekatan undang-undang.

SPRM tidak sukar untuk mengheret Sakaran ke muka pengadilan kerana mereka sedang menjalankan siasatan berhubung kes rasuah Setiausaha Agung Usia, Haji Abdullah Hussin yang menjadi proksi Sakaran dalam kes ‘1Borneo’.

Namun dalam masa yang sama, kata Abdullahsani, Pendaftar Pertubuhan (ROS) sewajarnya bertindak secara mandatori membekukan semua harta Usia sehingga Badan Penjaga Harta dan Pemegang Amanah dilantik untuk mentadbir urus harta Usia dan mendapatkan kembali semua harta yang ‘dicuri’ Sakaran.

No comments:

Post a Comment