Sunday, 14 August 2011

PETRONAS BANTU ATASI KRISIS TENAGA



Oleh : HAZLIN GAFFOR DAN NEWMOND TIBIN

SELEPAS beberapa dekad mengalami banyak gangguan bekalan tenaga elektrik, akhirnya para penduduk di pantai timur Sabah dapat berharap masalah mereka akan diselesaikan di dalam tempoh empat tahun akan datang.

Ini berikutan komitmen syarikat pengeluar minyak negara, Petronas untuk membina satu terminal pengisian semula gas asli cecair (LNG) dan membantu pembinaan loji kuasa berkapasiti 300MW di Lahad Datu.

Terminal Minyak dan Gas Sabah dan loji kuasa itu dijangka menelan kos RM2.2 bilion dan dijadualkan siap pada 2015.

Dengan siapnya projek itu, rakyat Sabah di kawasan pantai timur dijangka menikmati bekalan elektrik yang lebik baik dan pada waktu yang sama, memenuhi permintaan mendapatkan kuasa berikutan peningkatan aktiviti ekonomi di Sabah.

"Sejak beberapa dekad yang lepas, kami telah mengalami kehidupan yang sangat mencabar berikutan gangguan kuasa yang berulang kali. Saya tidak pernah terfikir kawasan itu, terutama sekali Lahad Datu akan menerima bekalan elektrik yang lebih baik."

"Kami telah menunggu sejak berdekad yang lalu. Terima kasih kepada Petronas dan kepada inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata Pengerusi Kelab Darvel Lahad Datu Ahmad Syawal (Gambar atas) kepada Bernama.

Katanya cadangan pembinaan terminal gas dan loji kuasa itu pastinya akan menjana limpahan ekonomi yang langsung dan tidak langsung yang signifikan, yang termasuk membuka peluang pekerjaan dan potensi bagi langkah mewujudkan perniagaan baharu.

"Ia tidak sahaja akan memanfaatkan rakyat di Lahad Datu, malah juga di daerah lain di pantai timur Sabah seperti Tawau, Semporna, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

"Lebih banyak peluang pekerjaan akan wujud bagi rakyat di sini sebaik sahaja pembinaan terminal itu bermula...sehingga projek ini siap beroperasi sepenuhnya," katanya.

Dalam hubungan ini, Ahmad berharap Petronas akan mempercepatkan pelaksanaan terminal gas itu - yang direka bentuk untuk menjadi penyedia bahan mentah loji kuasa di kawasan itu.

Dengan adanya bekalan tetap elektrik, katanya ia akan membantu merangsang projek Kluster Perindustrian Minyak Sawit (Sawit POIC) kerajaan di Lahad Datu, khususnya kilang biomas.

"Saya percaya, dengan adanya kemudahan infrastruktur yang baik seperti air dan elektrik, lebih ramai pelabur akan melabur di dalam POIC, sekaligus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan," katanya, sambil menyeru mereka tidak membazirkan peluang keemasan itu.

Sementara itu, Aslinda Kamba, 26, dari Taman Perdana Lahad Datu menyifatkan cadangan Petronas untuk membina terminal gas itu sebagai kena pada masanya dan perlu disokong oleh semua pihak.

Pada masa ini, katanya penduduk tempatan bergantung kepada banyak peluang pekerjaan yang terdapat di dalam perladangan kelapa sawit.

"Saya berharap, dengan tersedianya terminal gas itu, ia akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan di dalam industri minyak dan gas. Kita sememangnya menyambut baik penglibatan Petronas meningkatkan bekalan kuasa di sini dan sebagai satu syarikat minyak negara yang unggul, kita berkeyakinan Petronas akan melaksanakannya," katanya.

Aslinda berkata projek itu juga akan berupaya menjana minat mengenai minyak dan gas di kalangan jenerasi muda, terutama sekali di pantai timur, yang sekaligus menggalakkan mereka untuk mempelajari lebih banyak mengenai minyak dan gas semasa melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah kelak.

No comments:

Post a Comment