Friday, 16 September 2011

KAFA DI SOOK DAN NABAWAN TERIMA RM34,000



CEK….Kurup menyampaikan replika cek kepada guru KAFA Sook dan Nabawan, disaksikan Elron.

Oleh : YAYASAN DALIMPOS

GURU Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) di Sook dan Nabawan kini merasa lega kerana dapat dibantu oleh kerajaan melalui peruntukan yang diberikan Ahli Parlimen Pensiangan sebanyak RM34,000 sempena Hari Raya terbuka anjuran Ahli Parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Tan Sri Joseph Kurup berkata, peruntukan itu adalah bermanfaat kepada guru-guru Kelas Agama Fardu Ain dan 52 buah sekolah agama di kedua-dua daerah iaitu Sook dan Nabawan bagi tujuan pengajian Al-Quran atau aktiviti agama.

Peruntukan itu mampu menjana perlaksanaan aktiviti yang dianjurkan oleh guru-guru KAFA di setiap sekolah di Sook dan Nabawan.

Kurup berharap rakyat di Sook dan Nabawan khususnya dalam Parlimen Pensiangan agar sentiasa melakukan aktiviti keagamaan yang dapat meningkatkan moral dan akhlak kanak-kanak dan belia-beliawanis di daerah ini dalam menghadapi zaman teknologi.

Beliau ingin rakyat di daerah ini agar bersatupadu dan menjalinkan silaturrahim melalui penganjuran perayaan-perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Hari Kemerdekaan dengan saling menghormati antara satu sama lain.

Katanya, melalui hubungan yang intim, sikap terbuka, kunjung-mengunjungi dan saling menghargai maka wujud keharmonian sebagai rakyat yang aman dan sentosa.

Mengenai transformasi negara melalui slogan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, amat bermanfaat kepada perpaduan rakyat demi bangsa dan negara yang tercinta terutamanya ketika sambutan Hari Kemerdekaan yang disambut kemuncaknya pada 16 September ini.

Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, turut melafazkan ucapan selamat hari raya aidilfitri kepada semua umat Islam di Sook dan Nabawan dan berterima kasih kerana sudi datang meraikan rumah terbuka yang diadakan di dewan masyarakat Sook.

Kira-kira 3,000 orang menghadiri rumah terbuka Hari raya Aidilfitri anjuran Ahli Parlimen bersama Celcom tersebut di sini.

Dalam pada itu Kurup menyarankan rakyat di Sook dan Nabawan agar mengutamakan perpaduan sebagai landasan keamanan negara dalam mengelak segala perkara yang tidak diingini berlaku.

Sempena majlis rumah terbuka tersebut Kurup, Puan Sri Melinda dan Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Elron A.Angin menyampaikan duit raya kepada warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kanak-kanak yang mengunjungi majlis yang berlangsung dari pagi hingga ke petang.

Turut memeriahkan majlis ialah artis Abby AF5 yang menghiburkan pengunjung dengan dendangan lagu Raya dan persembahan-persembahan karaoke oleh artis tempatan.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat Nabawan Jubilin Kilan, Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Pensiangan Zaiton OKK Anik dan pemimpin masyarakat Sook.

No comments:

Post a comment