KEJAYAAN kerajaan
menyelesaikan krisis pencerobohan pengganas di Daerah Lahad Datu, Sabah melalui
pasukan keselamatan dipimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM) benar-benar dikagumi.
Di sebalik kejayaan itu,
terpahat 1001 kisah pahit selain mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan,
PDRM menghadapi pelbagai kerenah dan permintaan tidak masuk akal pengganas.
Mahu dirinya diiktiraf
sebagai ‘King of Borneo’, itu antara tuntutan yang disuarakan Ketua Pengganas,
Agbimudin Kiram susulan rundingan tiga hari dengan PDRM.
Sinar Harian berkesempatan
bertemu Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Pahlawan Hamza Taib yang berkongsi
pengalaman sebelum dan ketika serangan ke atas pengganas dilancarkan.
Ikuti temubual khas bersama
wartawan Sinar Harian, di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPPK) Sabah.
SINAR
HARIAN : Bolehkah Datuk ceritakan dari awal bagaimana krisis pencerobohan Lahad
Datu bermula serta langkah-langkah penyelesaiannya?
HAMZA : Saya menerima
laporan berkenaan pencerobohan Lahad Datu pada pagi 12 Februari lalu mengatakan
sekumpulan orang bersenjata mendarat di Kampung Tanduo.
Saya menghubungi Ketua Polis
Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Shamsudin Mat untuk mengesahkan perkara
itu dan beliau memaklumkan kepada saya bahawa 60 hingga 80 orang mendarat di
kampung itu. Sesetengahnya memakai jubah, seragam serta ‘half uniform’.
SINAR
HARIAN : Setelah mendapat tahu perkara itu dan selepas disahkan oleh Ketua
Polis Daerah Lahad Datu, apa tindakan Datuk seterusnya?
HAMZA : Saya arahkan pegawai
saya membuat laporan berhubung perkara ini serta menghubungi Komander Briged
Sabah, Datuk Ahmad Marzuki untuk mengepung kawasan berkenaan serta menggerakkan
Eastern Command.
Petang itu juga saya
kumpulkan semua ketua-ketua jabatan untuk membincangkan perkara ini dan perkara
pertama adalah mencari satu kod operasi yang mana nama Ops Sulu dipersetujui.
Kita telah gerakkan Ops Sulu
dan kumpulkan segala maklumat yang ada. Saya juga arahkan agar Ketua Cawangan
Khas untuk sahkan maklumat yang diterima, Komander Briged Sabah mengepung
kawasan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) wujudkan pasukan siasatan serta
melantik seorang perunding.
Langkah seterusnya adalah
memaklumkan pihak Bukit Aman operasi yang dilaksanakan.
SINAR
HARIAN : Bagaimana perjalanan rundingan antara polis dengan pihak penceroboh?
HAMZA : Saya bertindak
selaku pegawai pemerintah dalam operasi ini dan dimaklumkan oleh perunding
bahawa mereka dapat bertemu dengan pihak penceroboh yang diketuai oleh
Agbimudin Kiram.
Pertemuan dengan pihak
penceroboh diadakan sebanyak tiga kali iaitu 14, 15 dan 16 Februari.
Bagaimanapun proses
rundingan sebenarnya bermula sejak hari pertama, iaitu pada 12 Februari melalui
telefon.
SINAR
HARIAN : Boleh Datuk ceritakan, daripada proses perbincangan itu, apa yang
Agbimudin mahukan?
HAMZA : Antara dituntut
Agimudin adalah mahu gerombolannya dikenali sebagai ‘Royal Sulu Force’ dan
bukan sebagai pihak mewakili Abu Sayaf atau Moro Islamic Liberation Front
(MILF). Agbimudin juga menuntut agar orang Sulu tidak diusir keluar dari Sabah
di bawah Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Asing di Sabah (RCI). Perkara
ini kita boleh tunai kerana proses RCI belum habis.
Seterusnya dia minta menemui
seorang personaliti dan memaklumkan personaliti itu ada di Kota Kinabalu. Kita
cari dan berjaya temui dengan harapan apabila berjumpa, Agbimudin akan lembut
hati dan akan keluar dari Sabah.
SINAR
HARIAN : Apakah pihak datuk berjaya temui personaliti itu dan apa keputusan
Agbimudin selepas itu?
HAMZA : Kita jumpa
personaliti itu dan bawa orang ini masuk berjumpa Agbimudin. Selepas itu dia
minta berjumpa abangnya, Ismail Kiram. Untuk usaha ini kita juga bawa Datuk
Piah dan anak Ismail Kiram, Amir Baha dari Filipina berjumpa dengan Agbimudin.
Kita ambil mereka di Semporna dan temukan mereka, namun dia tetap tidak mahu
beralah.
SINAR
HARIAN : Selain itu, apa lagi tuntutan diajukan oleh Agbimudin Kiram?
HAMZA : Dia mahu kita
iktiraf dia sebagai ‘King of Borneo’. Saya cakap dengan dia, sedangkan Kerajaan
Filipina tak iktiraf dia sebagai ‘King of Borneo’, mustahil kita boleh iktiraf
apa dia mahu.
Pelbagai usaha kita buat.
Kita panggil isteri dia, anak dia dan libatkan Kerajaan Filipina tapi masih
degil.
SINAR
HARIAN : Selepas rundingan dan segala usaha gagal. Selaku pegawai pemerintah,
adakah Datuk rasa sudah sampai masa serangan dilakukan?
HAMZA : Kita boleh serang,
tapi ini bukan cara Malaysia. Kita tak nak ada pertumpahan darah dan ambil
keputusan teruskan usaha rundingan melalui telefon.
Keadaan memang tegang ketika
itu. Proses rundingan terus berjalan dan saya dipertanggungjawabkan kerajaan
Malaysia buat sidang akhbar setiap hari. Memang sukar dan akhirnya selepas 20
hari proses rundingan berlangsung, kerajaan Malaysia arah serangan dilakukan.
SINAR
HARIAN : Adakah pihak polis beri sebarang amaran kepada penceroboh sebelum
serangan dilancarkan?
HAMZA : Dua hari sebelum
serangan dilakukan, kita beri amaran kepada mereka. Kita jatuhkan risalah
menggunakan helikopter dua hari berturut-turut sebelum serangan untuk meminta
penceroboh serah diri. Risalah itu guna tiga bahasa iaitu Melayu, Bahasa
Inggeris dan juga Bahasa Sulu.
Pada masa itu, beberapa
anggota penceroboh yang takut mula menyusup keluar dari Kampung Tanduo dan kita
berjaya menahan mereka. Namun sebahagian besar masih bertahan di dalam kampung
itu.
SINAR
HARIAN : Boleh Datuk ceritakan bagaimana pertempuran bermula?
HAMZA : Pada hari pasukan
keselamatan sepatutnya sampai, kita telah ketatkan kawalan di semua penjuru.
Apabila pasukan Vat69 masuk
mereka terserempak dengan sekumpulan pengganas dan mereka diminta menyerah.
Kerana pengganas enggan menyerah, terjadilah pertempuran menyebabkan dua
anggota VAT69 meninggal dunia, manakala 15 pengganas ditembak mati.
Masa kejadian saya memang
berada di situ dan bila terima berita anggota kita terkorban, saya memang rasa
sedih, marah dan geram. Kalau anda berada di situ sebagai ketua ketika itu, anda
juga turut rasakan perasaan sama.
Tapi kita tak nak sebarang
tekanan dan serang pada hari itu sebab kita nak serang pada keesokan harinya.
Kita nak elak bertempur pada Jumaat kerana kita tahu semangat mereka lebih
tinggi pada hari itu, namun tidak dapat dielak. Kita terpaksa juga melaksanakan
gerakan ofensif dan berjaya tembak mati 15 pengganas.
SINAR
HARIAN : Pertempuran di Kampung Simunul pula enam pengganas maut. Boleh
ceritakan bagaimana pertempuran di situ boleh berlaku?
HAMZA : Sebenarnya pusat
persembunyian pengganas Sulu ini berada di Simunul, namun seperti kita tahu, ia
merupakan sebuah kampung air. Anggota kita masuk seramai 25 orang dan berpecah
kepada tiga kumpulan.
Satu kumpulanberjaya tangkap
enam pengganas dalam sebuah rumah, satu kumpulan lain berada tidak jauh dari
rumah itu dan berlindung di rumah lain. Manakala satu kumpulan berjaya
selamatkan diri.
Untuk selamatkan mereka,
kita gerakkan Unit Tindakan Khas (UTK) membantu dan selepas 22 jam kita berjaya
keluarkan kedua-dua kumpulan. Dalam kejadian itu, enam pengganas ditembak mati
manakala enam anggota kita terkorban.
SINAR
HARIAN : Sepanjang Op Daulat, adakah Datuk sentiasa berhubung dengan bekas
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan bagaimana keadaan Datuk ketika itu?
HAMZA : Saya bernasib baik
kerana Tan Sri Ismail yang bertindak sebagai penasihat operasi turut bersama
saya di Felda Sahabat. Begitu juga dengan Panglima Angkatan Tentera Darat,
Jeneral Datuk Zulkefli Zainal Abidin, keadaan ini membolehkan kami mengadakan
perbincangan setiap hari dan ketika itu sememangnya masa saya cukup padat.
Saya hanya tidur empat jam
dan kami dapat dengar setiap bunyi tembakan serta apa sahaja yang berlaku dari
Felda Sahabat yang hanya 20 kilometer dari tempat operasi. Ketika ini saya
kagum dengan kecekalan serta keberanian anggota VAT69.
Walaupun ada anggota gugur
semasa operasi. Mereka masih mampu hantar laporan serta berbincang langkah yang
perlu diambil.
SINAR
HARIAN : Bagaimana Datuk bawa diri sepanjang berada di tempat operasi?
HAMZA : Saya berada di situ
lebih 20 hari rasanya dan sepanjang tempoh itu, saya nikmati makanan bersama
mereka. Tiada layanan khas. Antara menu paling lazat bagi saya ketika itu
adalah nasi berlauk ikan sardin dan cucur tepung.
Kadang-kadang bila
berkesempatan balik ke Kota Kinabalu sekejap, saya belikan burger atau
lain-lain makanan untuk semua anggota dan bawa ke tempat operasi guna
helikopter. Bukan senang jadi polis dan bayangkan bila anggota terpaksa makan
dalam gelap, serta terpaksa makan sambil perhati pergerakan musuh dalam hutan
SINAR
HARIAN : Pada pandangan Datuk, adakah pengganas ini terlatih dan bagaimana pula
khabar angin mengatakan mereka kebal?
HAMZA : Tidak dinafikan
mereka cukup terlatih dalam peperangan, bersemangat tinggi dan mereka datang ke
sini untuk mati. Berkenaan kebal, susah untuk saya kata ya atau tidak.
Namun saya tidak menafikan
perkara itu. Memang tidak dapat disangkal bila kita periksa mayat pengganas,
hampir kesemuanya memakai tangkal.
SINAR
HARIAN : Apa nasihat Datuk kepada anggota atau lontaran kata-kata motivasi ketika
menghadapi situasi itu?
HAMZA : Saya nasihatkan
mereka, walau apapun berlaku kita percaya kepada kuasa ALLAH, kuatkan semangat,
sentiasa solat dan tabah. Jika sampai masa mereka (pengganas) mati, sama ada
kebal atau tidak mereka tetap akan mati. Saya juga berpesan kepada setiap
anggota bahawa kita berjuang demi mempertahankan negara dan jangan gentar
hadapi musuh.
SINAR
HARIAN : Bagaimana isteri dan anak-anak Datuk menghadapi situasi ini?
HAMZA : Mereka cukup tabah,
tapi saya kasihan melihat isteri saya (Datin Alauyah Mohamed) yang semakin
susut berat badannya kerana sentiasa risau tentang keselamatan saya.
Saya sentiasa hubunginya dan
sering katakan selagi dia nampak saya di televisyen, bermakna saya selamat.
Empat anak saya pula
sentiasa hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya untuk ketahui
perkembangan diri saya sepanjang operasi.
SINAR
HARIAN : Adakah insiden pencerobohan ini pengalaman paling mencabar?
HAMZA : Sepanjang lebih 30
tahun berkhidmat dalam PDRM, inilah pengalaman saya paling mencabar. Saya juga
akui saya sangat takut PRU13 gagal diadakan di Sabah berikutan insiden ini.
Bayangkan jika berlaku pengeboman semasa proses pengundian berlangsung, pasti
ramai rakyat di sini takut keluar mengundi.
Bagaimanapun, syukur semua
berjalan lancar dan 80 peratus rakyat Sabah keluar mengundi 5 Mei lalu.
SINAR
HARIAN : Adakah insiden pencerobohan ini merupakan insiden tidak disangka akan
berlaku ke atas negara kita?
HAMZA : Sebenarnya saya
memang menjangkakan serangan ini akan berlaku dan kerana itulah kita bentuk
Eastern Command, iaitu sistem pertahanan yang melibat polis di sekitar Malaysia
Timur. Saya akan pastikan mesyuarat Eastern Command ini diadakan secara kerap
bagi memastikan tiada ancaman.
Seperti sedia maklum kawasan
Malaysia Timur sentiasa terdedah dengan serangan pihak luar dan kawasan ini
juga terdedah dengan aktiviti pelanunan. Oleh itu, setiap pegawai yang menjawat
jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan.
SINAR
HARIAN : Apa perasaan Datuk bila ada pihak katakan insiden ini satu sandiwara
dan berterusan politikkannya?
HAMZA : Geram bila
memikirkannya, saya tak nampak macam mana insiden ini boleh dikatakan
sandiwara. 73 musuh maut bukan satu mainan. 10 anggota keselamatan yang
terkorban, perasaan keluarga, anak dan …apa faedah kita nak kata ini satu
sandiwara?
Ramai menyangka Op Daulat
telah selesai sedangkan ia masih berjalan hingga kini namun dalam skala lebih
kecil. Saya juga yakin Sabah ketika ini berada dalam keadaan aman dan selamat.
No comments:
Post a Comment