KUALA LUMPUR : Presiden
Amerika Syarikat (AS) Barack Obama telah menetapkan operasi pengedaran steroid
di seluruh dunia yang sebahagiannya berjaya di Malaysia di bawah Washington DC
Kingpin Statute, mensasarkan pengedar dadah besar-besaran termasuk kartel
Tijuana terkenal di Mexico, lapor Wall Street Journal (WSJ).
Langkah itu muncul selepas
Liberty Reserve, pengubah mata wang global yang berdaftar di Costa Rica,
didakwa minggu lepas kerana menjalankan operasi pengubahan wang haram AS$6
bilion (RM18.6 bilion) dikatakan terbesar di dunia, dan melibatkan pengurup
wang tidak berlesen berpangkalan di Malaysia seperti diakui Bukit Aman.
WSJ melaporkan Obama telah
mengenakan sekatan terhadap enam individu dan kumpulan, termasuk yang dikatakan
peniaga steroid anabolik, Mihael Karner Slovenia — didakwa menjalankan syarikat
payung jualan pengiklanan steroid di Malaysia dipanggil Asia Pharma —
meningkatkan kebimbangan sama ada peraturan-peraturan Malaysia begitu longgar
sehingga dieksploitasi oleh organisasi jenayah antarabangsa.
Termasuk dalam senarai
adalah rakyat Afghanistan, Haji Kotwal Noorzai, ketua pengedar dadah dan
pemilik makmal pemprosesan heroin, sekarang menetap di Pakistan dan pernah
bekerja dengan Taliban; dan orang paling penting Mexico, Luis Fernando Sanchez
Arrelano, yang didakwa sebagai pemimpin terkenal operasi Kartel Tijuana terkait
kepada beberapa penculikan dan pembunuhan di kawasan Tijuana, lapor WSJ.
Menurut akhbar perniagaan
antarabangsa dan isu semasa itu, Karner menggetuai organisasi antarabangsa yang
menjual steroid anabolik di internet dan telah menubuhkan syarikat cengkerang
untuk menyembunyikan asal usul keuntungan.
Steroid anabolik yang
dikenali sebagai penggalak prestasi dan digunakan untuk tujuan kosmetik tetapi
boleh merosakkan kesihatan seseorang dalam jangka masa panjang.
Memetik pegawai
Perbendaharaan AS, WSJ melaporkan Karner menguruskan syarikat payung jualan
pengiklanan steroid di Malaysia digelar Asia Pharma.
Semakan di Google
menunjukkan Asia Pharma adalah syarikat liabiliti terhad farmaseutikal di Kuala
Lumpur dengan nombor telefon dan faks tempatan tetapi tidak menyatakan alamat
e-mel.
Di laman sesawangnya
syarikat itu berkata matlamat utamanya adalah pengeluaran dan penjualan produk
generik farmaseutikal berkualiti tinggi kepada negara-negara membangun yang
tidak mampu untuk membeli ubat-ubatan proprietari mahal. Kebanyakan daripada 56
produk tersenarai berhubung dengan rawatan hormon lelaki dan perempuan.
Ia mendakwa misi “Asia
Pharma Ltd adalah untuk meningkatkan kecekapan sistem penjagaan kesihatan di
seluruh dunia dengan memberikan mereka lebih banyak ubat-ubatan berkualiti sama
untuk jumlah wang yang sama”.
WSJ melaporkan Karner,
isteri dan adiknya telah didakwa di Mahkamah Persekutuan Massachusetts pada tahun
2010 atas tiga pertuduhan konspirasi pengubahan wang haram, mengimport dan
mengedarkan steroid.
Karner dilaporkan telah
melarikan diri kembali ke tempat asalnya Slovenia sejak itu di mana dia
meneruskan operasinya walaupun telah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa AS,
kata akhbar itu memetik pegawai Perbendaharaan AS.
Dalam mengenakan sekatan,
Obama dilaporkan telah menggunakan Kingpin Statute, atau nama sebenarnya
Continuing Criminal Enterprise (CCE) Statute, undang-undang persekutuan Amerika
Syarikat bertujuan untuk menghapuskan perusahaan jenayah narkotik yang
berfungsi seperti perniagaan sah.
No comments:
Post a Comment