PETALING JAYA : Seorang
lelaki warga Jepun yang ditahan kerana menceroboh sebuah stor milik Sunway
Group berdekatan sebuah universiti dekat sini, ditemui mati tergantung di dalam
lokap di Balai Polis USJ 8 Subang Jaya awal pagi kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Selangor
Datuk A.Thaiveegan berkata Nobuhiro Matsushita, 33, ditemui tergantung pada
palang besi pintu lokap menggunakan bajunya kira-kira 4 pagi kelmarin.
Beliau berkata laporan bedah
siasat yang dikeluarkan Pusat Perubatan Universiti Malaya mendapati suspek mati
akibat gantung diri dan tiada sebarang kecederaan atau luka pada anggota
badannya.
“Siasatan awal polis juga
mengesahkan tiada unsur jenayah yang mengakibatkan kematiannya,” katanya pada
sidang media di sini kelmarin.
Beliau berkata pemeriksaan
pengawal lokap sejam sebelum itu mendapati kesemua tahanan termasuk lelaki itu,
berada dalam keadaan baik.
Thaiveegan berkata lelaki
tersebut sebelum itu diletakkan di sel tahanan yang lain sebelum diasingkan
kerana mengganggu tahanan yang lain.
Suspek pada 2 Jun lepas
ditahan kerana membuat ugutan jenayah dengan mengacukan pisau kepada polis
bantuan yang ingin menahannya kerana menceroboh sebuah stor di dalam universiti
itu.
Bagaimanapun, katanya,
lelaki itu berjaya ditahan dan polis menahan reman ke atasnya mengikut Seksyen
506 kerana ugutan jenayah dan 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah
sehingga 17 Jun depan.
“Pemeriksaan ke atas pasport
lelaki tersebut juga mendapati tiada rekod kemasukannya ke negara ini dan
penahanannya juga bersabit kes Imigresen,” katanya.
Thaiveegan berkata polis
beberapa kali memanggil penterjemah dari wakil kedutaan untuk tujuan siasatan
memandangkan suspek tidak boleh berbahasa Inggeris.
Beliau berkata polis telah
menghubungi keluarga suspek untuk memaklumkan kejadian melalui kedutaan dan
mungkin mereka mengambil masa untuk tiba ke negara sini.
“Kita sedang menunggu
laporan penuh daripada pakar patologi dan bila dah terima, kita akan serahkan
fail siasatan atau laporan mati mengejut ini ke Peguam Negara untuk arahan selanjutnya,”
katanya. (SH)
No comments:
Post a Comment