Oleh : MUDA MOHD. NOOR
PETALING JAYA: Umno Pulau
Pinang mempersoalkan kewajaran supaya jawatan Presiden dan Timbalan
dipertandingkan dalam perhimpunan agung parti akhir tahun ini.
Timbalan Pengerusi Umno
negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir bertanya, adakah individu yang mahu bertanding
itu lebih baik dari Datuk Seri Najib Tun Razak mahupun Tan Sri Muhyiddin Yassin?
“Bertanding untuk apa? Untuk
kebaikan atau merosakkan Umno atau hendak balas dendam?” kata Ketua Umno Bukit
Mertajam itu.
Menurut Musa, keterbukaan
Umno yang membenarkan ahli boleh bertanding mana-mana jawatan termasuk Presiden
tidak boleh disalahguna sehingga merosakkan parti.
Beliau menambah, jika
pertandingan berlaku dalam jawatan utama, Umno boleh berpuak dan ini
menyebabkan Umno menjadi lemah.
Umno pecah pada tahun 1987
setelah Tengku Razaleigh Hamzah mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan
Presiden.
Tengku Razaleigh kalah tipis
menyebabkan beliau menubuhkan Parti Melayu Semangat 46, mahkamah pula
mengisytiharkan Umno tidak sah.
Umno akan mengadakan
pemilihan jawatan pada akhir tahun setelah ditunda tahun lepas ekoran mahu
memberi tumpuan kepada pilihan raya umum ke 13.
Tiada kuota
Berbeza dengan tahun-tahun
sebelum ini, tidak ada kuota dikenakan untuk ahli yang bertanding jawatan
Presiden serta jawatan-jawatan lain.
Pemimpin Umno bahagian Kota
Baru, Che Mansor Adabi Che Hussein berkata, pertandingan mana-mana jawatan
utama boleh terdedah kepada perpecahan parti.
“Bagi memperkuatkan
solidariti kepada Najib dan Muhyiddin, sangat wajar kedua-dua jawatan tidak
dipertandingkan,” katanya.
Bagaimanapun, Che Mansor
berkata, sama ada Najib serta pemimpin lain dicabar atau tidak bergantung
kepada bahagian-bahagian Umno.
Katanya, jika mesyuarat Umno
bahagian mahukan jawatan Najib dan pemimpin lain dicabar, maka jawatan Presiden
Umno akan dipertandingkan.
“Umno bahagian akan membuat
resolusi dan keputusan sama ada jawatan Presiden dicabar atau tidak.
“Jika membuat keputusan
setuju Najib dicabar, maka jawatan itu akan dipertandingkan,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment