Oleh : AHMAD FUAD YAHYA
NUSA DUA (Bali) : Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya pemimpin kerajaan dan parti
politik di Indonesia tidak akan mudah terpengaruh dengan dakyah oleh ketua
pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pengaruh beliau di republik itu
tidak sehebat gambaran yang diberikannya.
Beliau berkata tokoh
pemimpin di Indonesia kini semakin memahami iklim politik Malaysia dan memilih
untuk mengakui hubungan bilateral yang baik, yang sudah terjalin sejak sekian
lama antara Malaysia dan Indonesia.
"Bagi saya tidaklah
sebegitu rupa sebagaimana yang digambarkan oleh beliau (Anwar) seolah-olah dia
(Anwar) di Indonesia cukup berpengaruh.
"Saya tidak melihat
begitu. Dalam media-media tempatan, dia tidak mengambil ruang yang besar
seolah-olah apa yang Anwar lakukan cukup hebat," katanya kepada wartawan
Malaysia di sini kelmarin.
Muhyiddin berada di sini
dalam rangka lawatan enam hari ke Indonesia untuk meningkatkan lagi kerjasama
dan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia selain berbincang mengenai isu yang
sering mengganggu hubungan di peringkat rakyat di kedua-dua negara.
Di awal lawatan pada 3
Julai, Muhyiddin bertemu dan berbincang dengan Naib Presiden Indonesia Boediono
serta pemimpin tiga parti politik terbesar di Indonesia semasa di Jakarta.
Para pemimpin parti politik
itu ialah Ketua Umum parti Golkar Aburizal Bakrie, Ketua Umum parti Demokrat
Annas Urbaningrum dan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (DPI-P)
Megawati Sukarnoputeri.
Muhyiddin, yang juga
Timbalan Presiden Umno, mengetuai delegasi pemimpin Umno dalam pertemuan dengan
ketiga-tiga parti politik Indonesia itu.
"Saya percaya
pemimpin-pemimpin Indonesia dan parti-parti politik lebih memahami keadaan
sebenar. Lebih-lebih lagi kita ada hubungan akrab antara kerajaan dan
kerajaan," katanya.
Muhyiddin bagaimanapun tidak
menolak kenyataan bahawa Anwar mempunyai kenalannya di Indonesia. (Bernama)
No comments:
Post a Comment