SEORANG profesor
Undang-Undang Universiti Nasional Singapura (NUS) dihadapkan ke mahkamah
semalam atas tuduhan rasuah melibatkan habuan daripada seorang bekas mahasiswa
wanita sebagai ganjaran memberinya keputusan akademik yang baik.
Tey Tsun Hang, 41 tahun,
yang juga merupakan seorang bekas hakim daerah di sini, menghadapi enam
tuduhan.
Dia dituduh mengadakan
hubungan seks dengan bekas mahasiswa NUS yang bernama Darinne Ko Wen Hui itu,
sebanyak dua kali pada/atau 24 Julai dan 28 Julai 2010.
Dokumen mahkamah menunjukkan
bahawa Tey memberikan Ko gred yang baik sebagai membalas habuan seks itu.
Tey juga dituduh menerima
habuan berbentuk pena berjenama Mont Blanc yang berharga $740, dua kemeja yang
ditempah tukang jahit berharga $236.20 dan sebuah iPod Touch bernilai $160
daripada Ko antara Mei dengan Jun 2010.
Ko juga dikatakan telah
membayarkan bil Tey yang mencecah $1,278.60.
Tey merupakan seorang
Profesor Madya yang mengajar di Fakulti Undang-Undang NUS.
Sementara itu, profil Ko di
laman sosial LinkedIn pula menunjukkan Ko menuntut di NUS antara 2008 dengan
2012.
Ko juga dikatakan pernah
bekerja sambil belajar di firma guaman terbesar di Singapura, Rajah & Tann,
antara 2008 dengan 2010 dan pernah bekerja di firma guaman O’Melveny &
Myers antara 2010 dengan tahun lalu.
Menurut laporan akhbar The
New Paper, Tey diberkas pada April lalu sementara Ko tidak diberkas tetapi
kenyataannya telah diambil.
Ko, 23 tahun, didakwa
mendekati Tey bagi mendapatkan gred lebih baik bagi kursus elektif yang
diambilnya.
Tey memberitahu media di
luar Mahkamah Rendah semalam bahawa “tuduhan-tuduhan terhadapnya itu amat
serius”.
“Kebebasan, kewibawaan dan
mata pencarian saya dipertaruhkan. Nama baik saya tercemar dan akibatnya
keluarga saya juga menderita,” kata Tey.
Dalam e-melnya kepada Berita
Harian semalam, seorang jurucakap NUS berkata:
“Dengan keputusan Peguam
Negara memfailkan tuduhan terhadap Profesor Madya Tey Tsun Hang, NUS telah
memulakan siasatan dan menggantung khidmatnya.
“Universiti ini memandang
serius pelanggaran peraturan. NUS mempunyai Kod Tatalaku yang harus diikuti
kakitangannya.
“Jika berlaku sebarang
pelanggaran (peraturan), tindakan yang sewajarnya akan diambil termasuk
pemecatan bagi pencabulan serius Kod Tatalaku itu.”
Kertas pertuduhan Tey
menunjukkan dia seorang warga Malaysia dan bertaraf penduduk tetap di sini.
Dia dibebaskan dengan ikat
jamin sebanyak $100,000 dan kesnya akan didengar lagi pada 3 Ogos ini.
Jika sabit kesalahan, Tey
boleh dikenakan denda sehingga $100,000, penjara sehingga lima tahun atau
kededuanya sekali bagi setiap kesalahan. (Berita Harian Singapura) (Mynewshub)
No comments:
Post a Comment