Monday, 30 July 2012

JURURAWAT HOSPITAL KENINGAU JAGA HANTU?




Saudara Pengarang,

KAMI hanya ingin meluahkan keluhan dan suara hati kami yang dikekang daripada membuat sebarang aduan kepada pihak hospital dan ingin memberitahu apa yang berlaku di Hospital Keningau, tempat kami bertugas.

Sempena lawatan Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak ke Keningau pada 16-17 Jun yang lepas, pihak hospital bimbang PM kita dan para menteri kerajaan negeri dan sebagainya akan jatuh sakit atau ditimpa kemalangan dan akan dimasukkan ke Hospital Keningau.

Oleh yang demikian, sekumpulan besar jururawat dari setiap wad diarahkan untuk 'standby'. Mereka akan dipanggil pada bila-bila masa untuk bertugas dan menjaga para VIP sekiranya sesiapa antara mereka dimasukkan ke wad.

Tetapi malangnya, Penyelia Jururawat Utama (Jururawat Berpangkat Tinggi) Hospital Keningau menukarkan 'standby' kepada “diperlukan”! Arahan daripada Penyelia Jururawat utama sendiri? Kumpulan jururawat tersebut diarahkan untuk menjaga katil-katil kosong (Jaga Hantu) di wad kelas pertama selama 3 hari, walaupun tiada sesiapa yang dimasukkan ke wad tersebut! Apakah perasaan anda? Rasa lucu? Rasa tidak munasabah?

Hospital Keningau masih kekurangan jururawat, tetapi masih dapat menjaga wad dan katil yang kosong tanpa pesakit, manakala wad-wad yang penuh dengan pesakit diabaikan!

Jadual tugas wad-wad terpaksa diatur semula sebab ramai jururawat dikehendaki untuk menjaga katil kosong. Adakah nyawa PM dan para menteri kerajaan negeri lebih bernilai daripada para rakyat biasa Sabah? Adakah anda rasa puas hati?

Sebagai jururawat yang biasa dan tidak berpangkat, kami tidak dapat membantah dan memberi pendirian kami. Apa yang kami cadangkan tidak akan diterima langsung oleh ketua dan penyelia jururawat yang berkuasa penuh.

Kami diberitahu akan diberi surat tunjuk sebab sekiranya mengingkari arahan menjaga kati kosong. Kami tidak dapat mengadu kepada Pengarah Hospital juga sebab laporan prestasi tahunan para jururawat ditentukan oleh ketua dan penyelia jururawat.

Sesiapa yang 'tidak disukai' akan dapat ulasan yang tidak bagus dan akan menjejaskan kenaikan gaji dan kenaikan pangkat pada masa hadapan. Siapa berani? Siapa sudi?

Inilah kenyataan hidup! Inilah nasib jururawat! Kami ada masalah yang tidak diketahui! Ramai jururawat tidak berpuas hati tetapi tidak dapat membuat apa-apa.

Dengan surat ini, sekurang-kurangnya kami rasa hak kami dibela, maruah kami dipertahankan! Kami berharap agar pihak hospital tidak mengulang perkara yang tidak munasabah ini. Kerja jururawat ialah menjaga pesakit dan bukan menjaga katil kosong!

Tujuan kami bukan mengkritik sesiapa, tetapi memberitahu kebenaran dan untuk penambahbaikan. Terima kasih kepada semua dan kepada editor sebab sudi mempaparkan surat ini. Terima kasih.

Salam Hormat,

SUARA JURURAWAT HOSPITAL KENINGAU

No comments:

Post a Comment