GREAT BRITAIN selaku tuan
rumah mempersembahkan gabungan suasana tradisional dan moden bagi menggambarkan
proses transformasi yang dilaluinya sebagai latarbelakang kepada acara
pembukaan rasmi gilang-gemilang Sukan Olimpik ke-30.
Acara pembukaan bermula pada
pukul 9 malam (waktu tempatan) di Stadium Olimpik yang boleh memuat 80,000
penonton yang terletak di Stratford, Timur London.
Ribuan peserta mengambil
bahagian untuk membuat persembahan yang mempersonakan selama dua jam.
Dengan bertemakan 'Isles of
Wonder', digambarkan transformasi yang dialami negara tersebut bermula dari
zaman revolusi perindustrian di abad ke-18 sehinggalah ia mencapai pemodenan
dan perubahan pesat.
Mengakhiri segmen pertama,
lima bulatan yang melambangkan simbol Olimpik dinaikkan di tengah-tengah
stadium sebelum ketibaan Ratu Elizabeth 11 pada 9.30 malam.
Persembahan seterusnya
berupa kesenian moden dengan dua watak terkenal filem James Bond and Mr Bean
mencuri perhatian.
Pada pukul 10.30 malam,
perarakan kontinjen dari 204 negara yang mengambil bahagian pun bermula
didahuli oleh kontinjen Afghanistan.
Kontinjen Malaysia yang
mengandungi 22 atlet dan pegawai dengan diketuai Chef de Mission Tun Ahmad
Sarji Abdul Hamid dan pembawa Jalur Gemilang, Pandelela Rinong anak Pamg
berarak lalu pada 11.13 malam.
Kontinjen Malaysia, bagi
peserta lelakinya memakai baju kebangsaan berwarna kuning dan berjalur hitam
yang melambangkan warna 'Harimau Malaya' serta bertanjak sementara peserta wanita
berbaju kurung dan berselendang.
Pengerusi Jawatankuasa
Penganjur Olimpik dan Paralimpik London,
Sebastian Coe dalam ucapannya mengalu-alukan para peserta ke kejohanan
terbesar dunia itu.
"Dalam tempoh dua
minggu ini, kami akan menunjukkan bandar raya hebat London. London 2012 akan
menyaksikan yang paling terbaik daripada kita." katanya.
Presiden Jawatankuasa
Olimpik Antarabangsa, Jacques Rogge pula mengucapkan tahniah kepada London yang
menerima kunjungan dunia.
"Di sinilah lahirnya
sukan moden. London menjadi bandar raya pertama secara rasmi yang menganjurkan
Sukan Olimpik moden sebanyak tiga kali, terdahulu pada 1908 dan 1948,"
katanya.
Ratu Elizabeth kemudiannya
merasmikan pembukaan Olimpik London.
Pemenang pingat gangsa acara
taekwondo wanita pada Olimpik Beijing 2008, Sarah Stevenson mengangkat sumpah
bagi pihak atlet.
Selepas dibawa hampir 12,800
km, obor Olimpik akhirnya dibawa memasuki stadium pada 12.35 pagi.
Sekumpulan tujuh orang atlet
muda Britain kemudiannya membawa obor di sekeliling stadium dan menyalakan
kawah obor Olimpik. Maka bermulah Sukan
Olimpik London. (Bernama)
No comments:
Post a Comment