Saturday, 28 July 2012

WASPADA PENIPUAN JAWATAN PEMBIMBING AADK




PALSU....Bakri menunjukkan surat tawaran palsu yang kononnya dikeluarkan oleh pihak AADK Sabah.

Oleh : RUZAINI ZULKIFLI

KOTA KINABALU: Orang ramai diminta berwaspada dengan aktiviti penipuan menggunakan taktik menawarkan surat permohonan jawatan dan temuduga palsu daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri.

Pengarahnya, Bakri Bibi berkata pihak terbabit mendakwa terdapat pekerjaan kosong sebagai pembimbing dengan menawarkan gaji sejumlah RM1,400 dan elaun rumah RM450 sebulan yang sebenarnya tidak wujud.

Malah beliau menegaskan pihak tidak bertanggungjawab itu turut mempamerkan cop rasmi, logo dan tandatangan Ketua Pengarah AADK bagi mengaburi mata para pemohon.

“Dalam surat berkenaan, kami mendapati pihak terbabit menyebut mengenai tawaran bekerja sebagai pembimbing AADK di cawangan negeri Sabah namun setahu saya, kami tidak pernah mengeluarkan apa-apa tentang permohonan ini,” katanya.

Menyedari perkara itu dua hari lepas setelah dimaklum oleh pegawainya, Bakri berkata ia mula terbongkar apabila terdapat panggilan orang ramai ke pejabat AADK bertanyakan perihal permohonan berkenaan.

Pihaknya lalu bertindak mendapatkan surat terbabit daripada seorang mangsa dan tertera nombor telefon lelaki yang disyaki sebagai dalang atau pelobi aktiviti berkenaan.

“Pegawai saya ada menghubungi nombor yang tertera di surat itu dan kami mengesahkan memang wujud penipuan di dalam hal ini kerana secara tiba-tiba lelaki itu bertanyakan ‘sudah bayar RM35?’,” katanya di sini kelmarin.

Dikatakan ura-ura mengenai penyebaran surat permohonan palsu itu kini sudah tersebar bukan sahaja di ibu negeri malahan ke daerah-daerah lain seperti Tamparuli dan Ranau.

Bakri turut berasa sedih dengan cara penipuan yang dilakukan sehingga difahamkan terdapat beberapa individu di Tamparuli sudah berhenti kerja gara-gara terpengaruh akan surat permohonan berkenaan.

“Sehubungan itu, kami meminta agar orang ramai yang telah menjadi mangsa kepada aktiviti penipuan ini menghubungi talian 088261845 atau 088261846,” katanya sambil menambah, pihaknya khuatir ramai yang sudah menjadi mangsa penipuan itu. (UB)


No comments:

Post a Comment