Saturday 28 July 2012

10,529 PAKET MERCUN '1MALAYSIA' DIRAMPAS





RAMPAS....Janathan (tengah) dan Hamzah (kanan) menunjukkan antara mercun yang dirampas dalam serbuan berkenaan.

Oleh :  RUZAINI ZULKIFLI & NURSYAHRINA MATBEH

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini berjaya merampas 10,529 paket mercun dan bunga api yang bernilai lebih RM67,000 termasuk cukai pasaran dalam dua serbuan berasingan di ibu negeri.

Pengarahnya, Dr Janathan Kandok berkata dalam rampasan berkenaan, pihaknya turut merampas 240 kotak mercun mancis yang tertera logo 1Malaysia.

Menurutnya, taktik berkenaan disifatkan untuk mengabui mata orang ramai bahawa mercun yang dijual RM40 sekotak itu adalah berasal dari negara ini serta didakwa sah dari segi penjualannya.

“Kita fahamkan bahawa mereka menggunakan taktik itu untuk memanipulasi orang ramai supaya beranggapan pembungkusan mercun berkenaan adalah dari negara ini.

“Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya akan taktik sedemikian dan kastam turut mempercayai mercun ini sebenarnya dibungkus luar daripada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Wisma JKDM Sabah di sini kelmarin. Hadir sama Timbalan Pengarah JKDM Negeri, Hamzah Sundang.

Mengulas lanjut mengenai dua serbuan berkenaan, Janathan berkata sebanyak 10,529 paket bunga api dan mercun berjaya dirampas dan dianggarkan mempunyai nilai pasaran semasa berjumlah RM67,545.50 serta melibatkan cukai sebanyak RM20,086.64.

Menurutnya, menerusi serbuan pertama, pihaknya berjaya merampas 1,201 paket bunga api dan mercun dengan nilai pasaran yang boleh mencecah RM12,624 dengan cukai berjumlah RM5,807.04 serta menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun.

Bagi kes kedua pada tarikh yang sama, pihaknya menyerbu sebuah rumah tidak bernombor pada jam 1.30 petang yang dipercayai memiliki, mengedar dan menjual mercun serta bunga api.

“Seorang lelaki berusia 22 tahun warga tempatan turut ditahan dan JKDM Sabah merampas 9,328 paket bunga api yang dianggarkan mempunyai nilai pasaran semasa berjumlah RM54,921.50 dengan cukai sebanyak RM14,279.60,” katanya.

Menurut Janathan, kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan tegas beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas sesiapa yang terlibat.

“Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman denda minima 10 kali ganda nilai yang terlibat dan maksima 20 kali ganda nilai terlibat atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. (UB)

No comments:

Post a Comment