KUALA LUMPUR : Hasrat PAS
yang mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini sukar untuk direalisasikan
kerana parti itu perlu terlebih dahulu meminda Perlembagaan Persekutuan, kata
Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw.
Beliau yang juga Anggota
Parlimen Kepong berkata untuk meminda perlembagaan bukan sesuatu yang mudah
kerana ia memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen.
"Nak hudud mesti ada
pindaan di Parlimen. Dia (PAS) tahu nak dapat majoriti dua pertiga itu
mustahil," katanya.
Malah, katanya sehingga hari
ini Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hukum Hudud) yang
diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993 juga masih tidak dapat
dikuatkuasakan.
Beliau berkata demikian
apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Besar
Kelantan Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS pada Rabu lepas yang mengulangi
pendirian parti itu untuk memperjuangkan hukum hudud walaupun tidak
dipersetujui DAP.
Menurut Tan, isu hudud
merupakan satu perkara yang rumit terutama dalam sebuah negara yang terdiri
daripada masyarakat majmuk dan ia tidak sepatutnya dibangkitkan.
"Jangan kita bangkitkan
perkara yang boleh menimbulkan porak-peranda terutama kepada perkara yang tak
boleh dilaksanakan," katanya.
Mengulas mengenai pendirian
DAP itu, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr Chandra Muzaffar
berkata pendirian PAS untuk memperjuangkan hukum hudud walaupun tidak mendapat
restu DAP menunjukkan kedua-dua parti tersebut banyak perbezaan dan tidak
sealiran.
Beliau yang juga Presiden
Pergerakan Keadilan Sejagat (Just) berkata kedua-dua parti berkenaan hanya
berpakat kerana mereka mempunyai 'musuh' tertentu yang menghalang hasrat untuk
merampas kuasa di peringkat persekutuan dan negeri.
"Ini menunjukkan hubungan
mereka satu hubungan yang beroportunis kerana mereka nak berkuasa, tak ada
sebab lain," katanya.
Dr Chandra juga berkata
tindakan PAS yang memberi keutamaan kepada hudud apabila berkuasa menunjukkan
seolah-oleh bahawa hukuman tersebut mencermikan tamadun Islam.
"Ini tak betul kerana
yang mencerminkan kegemilangan Islam adalah ilmu pengetahuan dan
keadilan," jelasnya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment