PROGRAM pemberian air
percuma yang membolehkan rakyat menikmati 20 meter padu pertama secara percuma
setiap bulan adalah bukti keupayaan pengurusan Kerajaan Negeri dan kesungguhan
untuk memastikan industri air di Malaysia diuruskan dengan menjadikan kebajikan
rakyat menjadi keutamaan, kata Menteri Besar,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Secara purata,
keluarga yang mendiami rumah bertanah di Selangor menikmati penjimatan RM1,200
setahun sejak program ini diperkenalkan pada Jun 2008.
"Manakala keluarga yang
tinggal di rumah bertingkat pula
menikmati penjimatan secara purata
hampir RM900 setahun dalam tempoh itu," katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Kerajaan negeri, tambahnya,
telah membekukan cadangan untuk menaikkan tarif air oleh Syarikat Bekalan Air
Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sebanyak dua kali iaitu untuk 2009 dan 2012.
"Kerajaan Selangor
telah membelanjakan RM550 juta setakat ini untuk Program Pemberian Air Percuma.
Namun begitu, kerajaan negeri masih berupaya meningkatkan rezab negeri kepada
RM2.1 billion pada 2012 berbanding hanya RM400 juta pada 2008," kata
menteri besar.
Ini, tegas Abdul Khalid,
adalah hasil dasar kewangan mesra rakyat yang mematuhi prinsip-prinsip
integriti dan tadbir urus yang baik.
"Kerajaan Pakatan
Rakyat Negeri Selangor membuat banyak usaha untuk memastikan rakyat berhak
untuk berkongsi keuntungan, aset dan sumber negeri," tambahnya.
No comments:
Post a Comment