Oleh : NOMY NOZWIR
RAWANG : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari
ini berkata kekal dengan pendiriannya untuk bersara sekiranya tewas dalam
pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan datang walaupun dipujuk oleh anaknya Nurul
Izzah semalam.
Anwar yakin Pakatan Rakyat
(PR) akan menang PRU 13 walaupun mungkin terdapat penipuan.
"Insya-Allah, saya
yakin akan menang", katanya bila ditanya mengenai peluang memenangi PRU.
Dengan tegas ketua
pembangkang mengulangi kenyataan jika PR kalah, dia akan bersara dari politik
dan kembali mengajar.
"PRU mungkin akan
berlangsung pada September, kita menang, kita tidak akan lupakan rakyat kerana
kita juga pernah susah.
"Kalau kita menang,
hari angkat sumpah kita akan turunkan harga minyak", kata ahli parlimen
Permatang Pauh (gambar) itu.
Bekas Timbalan Perdana
Menteri itu mengatakan bahawa anak Tun Dr Mahathir menggunakan pengaruh bapanya
untuk membeli Esso Malaysia yang bernilai RM 1.9 billion.
Pembelian itu juga mendorong
Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menandatangani perjanjian dengan Esso
Malaysia - kini dikenali sebagai Petron bagi membeli petrol untuk kapal
terbang.
"Mirzan Mahathir telah
beli syarikat bir San Miguel, Esso dan kini MAS tandatangan kontrak untuk
petrol kapal terbang, sebab itu Mahathir takut kalau Pakatan menang", kata
Anwar Ibrahim di hadapan penyokongnya dalam majlis makan malam anjuran PKR
cabang Selayang malam tadi.
Baru-baru ini MAS memeterai
perjanjian dengan Petron untuk membeli petrol sekaligus mengenepikan Petronas
yang selama ini membekal petrol kepada syarikat penerbangan itu.
Terbaru, Ahli Parlimen
Indera Mahkota, Azan Ismail mendakwa MAS kerugian kerana terpaksa menanggung
kos bahan api ketika dibekalkan oleh Petronas.
Azan berkata, Petron
dianugerahkan kontrak pembekal bahan api adalah perkara yang sangat meragukan
kerana Mahathir merupakan penasihat kepada Petronas.
"Petron diberi kontrak
kerana ia dimiliki oleh anaknya, kerana San Miguel milik Mirzan telah untung
menyebabkan dia boleh membeli 65 peratus saham Exxon Mobil Corporation iaitu
syarikat induk Esso Malaysia Sendirian Berhad", kata Azan yang dipetik
dari sebuah blog.
Turut hadir dalam ceramah
itu adalah ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, Ahli Parlimen Kuantan,
Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw.
Fuziah pula berkata rakyat
haruslah menyedari penipuan dalam pilihanraya dan mengundi Pakatan Rakyat dalam
pilihanraya akan datang.
Tan Seng Giaw berkata hutang
negara sudah mencecah RM 500 billion dan skandal PKFZ oleh MCA memufliskan
negara.
No comments:
Post a Comment