Oleh : HERMAN HAMID
SELEPAS lebih separuh abad
gagal mendapatkan sokongan majoriti rakyat, PAS kini galak menggunakan strategi
mengikut warna untuk program yang mereka laksanakan menjelang Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU-13).
Ini termasuk perhimpunan
Sabtu ini di ibu negara yang dinamakan Himpunan Oren. Kenapa warna Oren
dipilih, penulis mengagak ia tidak mungkin ada kaitan unsur feng shui.
Barangkali ia menzahirkan
objektif penganjur program berkenaan yang kononnya bertujuan menyelamatkan
Felda yang mana oren adalah warna sinonim dengan konglomerat itu.
Niat utama mereka adalah
menjadikan perhimpunan itu sebagai tanda bantahan berterusan pembangkang
terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).
Anehnya, FGV yang merupakan
tawaran permulaan awam (IPO) terbesar di dunia selepas Facebook untuk tahun ini
telah disenaraikan dengan penuh cemerlang pada 28 Jun lalu sehingga kejayannya
mendapatan perhatian meluas pelabur di seluruh dunia.
Ini menggambarkan keyakinan
ramai terhadap masa depan Felda yang bakal memperoleh banyak manfaat perniagaan
apabila ia disenaraikan dalam usaha berterusan kerajaan mengangkat Felda
sebagai sebuah konglomerat global.
Namun PAS menerusi
pertubuhan tidak berdaftar yang didalangi mereka, Anak memilih jalan
sebaliknya. Hasutan demi hasutan dibuat di tanah rancangan di seluruh negara
termasuk di Pahang yang mana tiga daripada 12 wilayah Felda terletak di negeri
ini.
Malah pada peringkat awal
ada pihak tertentu yang sengaja menyebarkan desas-desus kononnya tanah peneroka
bakal tergadai akibat penyenaraian ini. Hakikatnya seperti dijanjikan, tidak
ada seinci pun tanah 112,635 peneroka yang tergadai.
Tidak cukup dengan itu,
diheret mereka beberapa peneroka yang merupakan orang kuat pembangkang supaya
memfailkan injunksi bagi menghalang penyenaraian ini menerusi cara menghalang
Koperasi Permodalan Felda (KPF) daripada terlibat sama.
Tindakan itu banyak
menyusahkan kerajaan dan warga peneroka keseluruhannya sehingga terpaksa menubuhkan
Tabung Amanah bagi menggantikan peranan KPF agar penyenaraian ini dapat
diteruskan.
Dan apabila Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembayaran durian runtuh RM15,000 kepada
setiap keluarga peneroka, timbul pula kononnya wang itu adalah haram.
Namun apabila pembayaran
fasa pertama dilakukan Mei lalu, tidak ada sesiapa pun menolaknya termasuk
mereka yang siang malam menghentam usaha kerajaan menyenaraikan Felda.
Sebaliknya ada pula yang
datang menuntut wang itu dengan penuh ego mendakwa ia adalah hak peneroka
walaupun hakikatnya ia diberikan kerana penyenaraian FGV — perkara yang
ditentang mereka.
Tetapi itulah pembangkang,
apa sahaja usaha yang dibawa kerajaan akan dikelirukan mereka. “Modus operandi”
begitu bukan baru tetapi sudah sebati dengan mereka. Akhirnya menjadi seperti
burung kakak tua, bercakap tanpa memahami apa yang dituturkan.
Sebab itu Perdana Menteri
selalu mengingatkan perihal pembangkang seperti mana kisah Putrajaya yang
dahulu mahu digadai mereka tetapi sekarang mahu ditawan. Apa yang tidak
dibantah, tetapi akhirnya mereka juga salah seorang yang mengambil manfaatnya.
Justeru, Himpunan Oren
anjuran PAS hanyalah satu lagi drama politik dengan harapan menggunung mereka
untuk merungkai senario supaya ada rancangan Felda di bawah Barisan Nasional
(BN) akan tewas pada PRU-13 kelak.
Dan perhimpunan seperti
itulah sahaja yang tahu dilakukan pembangkang, berpolitik siang dan malam
sedangkan pimpinan BN bekerja keras untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
Lihat sahaja logo Felda di
awal permulaan agensi itu yang tertera “No Need To Be Poor”. Matlamat awal itu
sudah lama dicapai. Malah di alaf baru, kehidupan peneroka jauh berubah
sehinggakan berada di kalangan kelas pertengahan dan tergolong sebagai kelompok
yang layak mengeluarkan zakat.
Namun apa yang dikesali,
pada saat mereka menuai hasil lumayan daripada kesusahan di awal penyertaan
Felda dahulu, ada segelintir yang rela dipergunakan pihak yang tidak pernah
membantu mereka apa pun kecuali menjanjikan bulan, bintang dan mungkin syurga. (UM)
No comments:
Post a Comment