KUALA LUMPUR : Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan beberapa inisiatif khusus untuk
golongan belia bagi membuktikan sokongan dan pengiktirafan berterusan kerajaan
kepada generasi muda Malaysia.
Satu dana yang dikenali
sebagai Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRe1M) diwujudkan dengan jumlah sebanyak
RM100 juta akan disalurkan dalam bentuk geran kepada pertubuhan belia, badan bukan
kerajaan (NGO) serta kumpulan belia yang tidak menjadi anggota mana-mana
pertubuhan untuk menjalankan program sukarelawan.
"Dana ini untuk mereka
menjalankan aktiviti yang berdasarkan semangat kesukarelawanan seperti
gotong-royong, membersihkan pantai. Kalau hendak adakan kelas tuisyen untuk
orang Asli boleh mohon bantuan daripada dana ini," katanya di hadapan
50,000 sukarelawan belia ketika melancarkan program 1Malaysia For Youth (iM4U)
di Esplanade, KLCC di sini.
Najib berkata semua
permohonan akan diproses secara dalam talian dengan melayari laman sesawang
www.1m4youth.com.my bagi mendapatkan maklumat dan cara-cara memohon dana
tersebut.
Pada majlis itu, Najib turut
mengumumkan penubuhan Lembaga Pemegang Amanah iM4U yang dipengerusikan oleh
beliau sendiri. Beliau berkata lembaga itu bertujuan memastikan setiap program
di bawah platform iM4U berjalan lancar.
"Kita perlu beri
sokongan dalam bentuk sumbangan kewangan yang berpatutan, bukan secara mewah
kepada saudara-saudari untuk mengadakan program dan aktiviti atas semangat
sukarelawan," katanya.
Selain itu, Najib berkata
sebuah stesen radio iM4U akan diwujudkan tidak lama lagi yang berteraskan minat
dan citarasa anak muda masa kini, bertujuan menjadi platform para belia
mengetengahkan bakat dan idea mereka.
Beliau turut mengisytiharkan
tahun depan sebagai tahun kesukarelawan negara dengan semangat untuk menyumbang
kepada masyarakat dan negara akan terus dikekalkan.
Mengenai iM4U, Najib berkata
ia merupakan platform kepada golongan belia untuk tampil ke hadapan dengan
tenaga, buah fikiran dan masa demi kesejahteraan masyarakat dan negara.
"Melalui platform iM4U,
saudara-saudari akan menyumbang kepada semangat kesukarelawanan, apa sahaja
yang boleh mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada masyarakat dan negara kita
akan sokong melalui platform iM4U," katanya.
Sambil mengucapkan terima
kasih kepada sukarelawan belia di atas sokongan dan penglibatan mereka dalam
aktiviti sosial yang bersifat kenegaraan dan semangat 1Malaysia itu, Najib
berkata penyertaan mereka menunjukkan bahawa belia amat cintakan keamanan dan
kestabilan negara yang dikecapi pada masa kini.
"Kita berhimpun pada
hari ini kerana kita cintakan keamanan. Kita berhimpun untuk menggerakkan iM4U
sebagai satu gelombang, bukan gelombang untuk buat rusuhan atau demostrasi
tetapi sebagai satu platform bagi belia dan generasi muda mengetengahkan
kreativiti dan aktiviti mereka," katanya.
Beliau turut memberi contoh
pemuda kurang upaya, Mohd Zariff Afandi, 31, yang aktif dalam kegiatan
kesukarelawanan dan sanggup menyumbang kepada kepentingan masyarakat walaupun
tiada kedua-dua belah tangan.
"Saya telah bertemu
dengan seorang pemuda, (Mohd) Zariff yang tiada kedua-dua tangan tetapi dia
sanggup menjadi sukarelawan dan menyumbang kepada negara," katanya.
Najib berkata ungkapan
'iM4U' dipilih bermaksud kerajaan hari ini adalah kerajaan untuk belia dan
kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk menjamin bahawa masa depan generasi
muda akan dipenuhi dengan sinar, harapan dan gemilang kerana berjuang ke arah
kejayaan demi kejayaan.
Beliau berkata perhimpunan
hari ini bertujuan memperkasakan lagi perkembangan para belia dalam konteks
membina negara bangsa selain menentukan masa depan yang lebih baik, sekali gus
akan merealisasikan program transformasi negara.
"Masa depan kita akan
ditentukan oleh saudara-saudari, kalau belia suka bela masyarakat, maka
masyarakat akan terbela, kalau sokong kerajaan dan transformasi maka negara
akan maju," katanya.
Pada majlis itu, Perdana
Menteri turut melancarkan lagu rasmi iM4U yang digubah oleh Universiti Lim Kok
Wing selain mengedarkan 100,000 topi keledar kepada belia di seluruh negara. (Bernama)
No comments:
Post a Comment