Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI
NOVEL 'Perempuan Nan
Bercinta' yang dilancarkan Perdana Menteri selasa lalu kini berdepan risiko
pengharaman apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang
membincangkan kewajaran mengambil tindakan itu selepas ia dikaitkan dengan
fahaman Syiah.
Penolong Pengarah (Penyelidikan
I) Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan (Cawangan Akidah) Jakim Mohd Aizam
Masod mengakui 'Perempuan Nan Bercinta' karya pengarang terkenal Faisal Tehrani
sedang dipertimbangkan untuk itu.
''Ada... adalah itu (proses
perbincangan). Saya tak boleh beri apa-apa kenyataan sebab ia berkaitan dengan
jabatan. Tengok sahajalah nanti.
"Ada aduan, sekarang
Jakim dalam proses tindakan. Tunggu sahajalah dua tiga hari nanti," kata
Aizam kepada Malaysiakini semalam ketika ditanya sama ada terdapat perbincangan
ke arah itu.
Mohd Aizam berkata, perkara
itu dipertimbangkan setelah menerima aduan terhadapnya
Malaysiakini difahamkan,
Ura-ura pengharaman itu mula diperkatakan sejak 6 Jun lalu dalam wacana isu-isu
akidah anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) di Shah Alam apabila terdapat
pegawai Jakim dikatakan tampil menyeru orang ramai membuat laporan polis.
Faisal atau nama sebenarnya
Mohd Faizal Musa diselubungi pelbagai kontroversi apabila sering menghadapi
pelbagai 'tekanan' ekoran penerbitan karya-karyanya.
Disember tahun lalu,
novelnya Sebongkah Batu di Kuala Berang diharamkan Jakim. Jalan sukar juga
menimpa skrip drama televisyen tulisannya Pelangi Ada Tujuh Warna arahan Erma
Fatima yang menghadapi 'gangguan' sebelum dibenarkan penyiaran bermula 4
Februari lalu.
Sebongkah Batu di Kuala
Berang dipercayai novel pertama diharamkan selepas kemerdekaan. Ia antaranya
membentangkan teori lain kemasukan Islam di Asia Tenggara.
Penulis
yakin 'jangka hayat' tinggi
Penerima Anugerah Seni
Negara itu juga pada Jun 2008 ditamatkan kontrak penulisan novel bersirinya
Ketupat Cinta di Harian Metro setelah mendapat bantahan keras daripada mufti
Perlis ketika itu Prof Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin.
Sementara itu, Faisal
(bawah) dalam reaksinya kepada Malaysiakini berkata, beliau yakin novelnya kali
ini akan mempunyai "jangka hayat yang tinggi" memandangkan perdana
menteri baru sahaja menjamin kebebasan berkarya kepada penulis.
"Perdana menteri malah
merujuk kepada visi Syed Jamaluddin el Afghani sebagai tanda aras. Novel
Perempuan Nan Bercinta turut dilancarkan oleh beliau kemudiannya," kata
Faisal merujuk kepada pelancaran novelnya bersama 29 lagi karya judul asli penulis
di Putrajaya pada 3 Julai.
Buat masa ini, beliau akan
terus menulis dan meneruskan kajian serta kerja akademiknya seperti biasa, kata
pengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.
Perempuan Nan Bercinta mula
beredar dalam pasaran minggu ini dan dijual dengan harga RM35 senaskhah.
Buku setebal 410 halaman itu
mengisahkan pengalaman Dr Tengku Idora, seorang feminis yang berkenalan dengan
Prof Dr Ali Taqi menerusi Bastian, kekasihnya.
Perkenalan itu membantu
perubahan tanggapan Tengku Idora daripada seorang feminis melulu kepada feminis
yang bersandarkan ketokohan anak perempuan Rasulullah Saidatina Fatimah
az-Zahra.
Dalam novel ini, watak Dr
Ali Taqi kemudiannya menjadi sasaran dan buruan pihak berkuasa agama.
Faisal dijangka menyentuh
ura-ura pengharaman itu dalam sidang medianya di Shah Alam petang ini sempena
penyertaannya dalam Kumpulan Sasterawan Kavyan - satu-satunya persatuan untuk
penulis India yang berkarya dalam bahasa Melayu - pimpinan penulis Uthaya
Sankar SB.
No comments:
Post a Comment