Monday 9 July 2012

PRASARANA BELIA AKAN DIBINA DI SEPANGGAR




GELAGAT....Jumat bersama pemimpin lain menyaksikan gelagat suri rumah menganyam ketupat sempena Kejohanan Futsal Satu Malaysia Parlimen Sepanggar di Gelanggang Futsal Yayasan Sabah, di Likas Kota Kinabalu, di sini kelmarin.

KOTA KINABALU: Umno Bahagian Sepanggar merancang untuk mewujudkan 'Prasarana Belia Parlimen Sepanggar' dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terletak berhampiran 'Taman Kingfisher Likas' sebagai pelengkap kepada semua aktiviti belia di negeri ini.

Ketuanya, Datuk Jumat Hj Idris berkata, pihaknya sudah mengemukakan cadangan itu kepada DBKK bagi tindakan lanjut  sekali gus memohon kelulusan agar dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, cadangan prasarana itu meliputi pembinaan beberapa Gelanggang Futsal, Dewan, Sukan Extrame serta pelbagai aktiviti bagi memperkasakan belia khususnya dalam Parlimen Sepanggar.

"Kita yakin tapak dicadangkan mendapat persetujuan daripada DBKK memandangkan ianya bersesuaian serta memberi manfaat dalam tempoh jangka masa panjang kegunaanya. Ini sekali gus menunjukkan keperihatian Umno Bahagian Sepanggar serta Barisan Nasional (BN) terhadap komitmen belia di Parlimen Sepanggar.

"Kami di Umno Bahagian Sepanggar begitu terharu terhadap sumbangan serta sokongan golongan muda terhadap penyertaan dalam pelbagai aktiviti dianjurkan. Mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri menyewa gelanggang futsal, badminton serta bola tampar untuk berlatih sebelum menghadapi sesuatu pertandingan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kejohanan Futsal Satu Malaysia Parlimen Sepanggar di Gelanggang Futsal Yayasan Sabah, di Likas Kota Kinabalu, di sini kelmarin.

Hadir sama Timbalan Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Yakub Khan; Naib Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Zaitun Datuk Kasim dan Naib Ketua Pemuda Umno Sepanggar merangkap Setiausaha Umno Bahagian Sepanggar, Mohd Razali Mohd Razi @ Bob.

Jumat yang Pengerusi Penyelaras BN Sepanggar berkata, jika prasarana itu dapat direalisasikan kelak Sepanggar mampu melahirkan jaguh dalam bidang sukan serta mampu mengharumkan nama negeri serta negara di peringkat antarabangsa.

"Perkara ini tidak mustahil akan berlaku. Sebagai contoh jelas hari ini anak jati Sepanggar berasal dari Kampung Gudon Menggatal, Kota Kinabalu iaitu Prof Dr Mohd Harun Abdullah sudah menjadi Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS). Apa yang penting belia perlu bekerja keras menetapkan sasaran untuk cemerlang di masa depan, " katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Jumat berkata, sukan memainkan peranan penting dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum sekali gus menjadikan sukan sebagai medan terbaik mengeratkan silaturahim dalam kalangan mereka.

"Sukan adalah ruang terbaik dalam mengelakan belia terjerumus dalam kegiatan yang tidak diingini seperti gejala penagihan dadah. Jangan juga mudah terpengaruh dengan hasutan pembangkang dengan memburukkan kerajaan sedia ada.

"Sebaliknya belia perlu memberi sokongan berterusan kepada kerajaan sedia ada sekali gus menjadi pemilih berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar dapat menjalankan kewajipan menjelang PRU-13 yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa," katanya.

Jumat berkata, sebagai tanda sokongan terhadap penyertaan belia dalam Kejohanan Futsal Satu Malaysia Parlimen Sepanggar pihak penganjur akan mengembalikan yuran penyertaan secara serta-merta.

Dalam kejohanan futsal selama sehari itu sebanyak 56 pasukan turut serta termasuk enam pasukan wanita dalam Parlimen Sepanggar.

No comments:

Post a Comment