DATUK Seri Najib Tun Razak mengingatkan
rakyat supaya tidak tersalah memilih pemimpin kerana boleh mengakibatkan
keamanan negara tergadai sekali gus menyebabkan rakyat hilang nikmat untuk
melakukan ibadat.
Perdana menteri berkata
pemimpin sedemikian yang beliau sifatkan sebagai tidak berakal akan
memporak-perandakan negara selain meragut kemakmuran rakyat yang dikecapi pada
hari ini.
"Kalau kita salah pilih
(pemimpin) dengan meletakkan orang yang tidak kena pada tempatnya maka nikmat
kemakmuran itu mungkin terlepas dari kita.
"Setakat orang itu baik
sahaja, itu belum cukup kerana ada orang yang cuba menampakkan dia baik tapi
dia sebenarnya tidak baik," katanya ketika berucap di majlis penyampaian
sumbangan kepada 57 buah masjid dan 170 buah surau di parlimen Pekan sempena
Ramadan.
Beliau berkata pemimpin yang
berakal dan cemerlang adalah pemimpin yang berkemampuan untuk mentadbir negara,
membuat dasar-dasar negara, menjana kekayaan dan menjalin hubungan baik dengan
negara-negara luar.
Mengambil contoh pemimpin
yang tidak berakal, Najib berkata perkara itu dapat dilihat ketika Perhimpunan
Bersih 3.0 pada 28 April lalu yang membawa pelbagai kesusahan kepada negara dan
rakyat kerana sikap keras kepala dan kurang ajar pemimpin pembangkang.
"Ketika Perhimpunan
Bersih 3.0 dulu, sudahlah buat angkara dalam negara iaitu secara tidak aman,
yang paling parah buat demonstrasi di Tanah Haram, di depan Masjid Nabi dan
depan Masjidil Haram yang hampir mengakibatkan kuota haji kita ditarik balik
oleh kerajaan Arab Saudi.
"Kenapa pemimpin ini
tidak guna akal. Kenapa Tuhan bagi akal dia tak guna. Kenapa semata-mata sebab
politik dia sanggup melakukannya di tanah suci," katanya.
Najib berkata tindakan bodoh
pembangkang itu hampir menyebabkan jemaah haji Malaysia yang menanti sehingga
10 tahun untuk menunaikan haji terlepas peluang beribadat.
"Akhirnya yang perlu
selamatkan keadaan adalah kerajaan saya kerana kita ada hubungan yang baik
dengan Raja Abdullah, dengan menggunakan saluran tertentu untuk jelaskan
keadaan, Alhamdulillah kuota haji kita tidak terjejas," kata beliau.
Najib dalam pada itu menyeru
supaya rakyat mengambil barakah bulan Ramadan dengan memperbanyakkan melakukan
amal ibadat dan jariah. (Bernama)
No comments:
Post a Comment