Thursday, 22 January 2015

Skinhead Malaysia anti perkauman dan dadah, tetapi disalahertikan


OLEH ELIZABETH ZACHARIAH


Kumpulan skinhead Malaysia menghadiri pertunjukan live band semasa pertemuan skinhead di Kuala Lumpur pada 17 Januari, 2015. Beratus-ratus hadirin di Kuala Lumpur dating untuk melihat kugiran skinhead dari Jepun dan Thailand untuk acara 2 hari itu pada 17 dan 18 Januari, 2015. 

Kumpulan skinhead Malaysia yang anti-perkauman dan anti-dadah sudah lama mengadakan aktiviti mereka secara sembunyi bagi mengelakkan gangguan polis, disebabkan konotasi negatif dikaitkan dengan mereka.


Anggota Skinheads Against Racial Prejudice (SHARP) Malaysia pernah berdepan acara mereka diserbu dan hadirin diheret ke balai polis untuk menjalani ujian dadah, kata Bob Panjang.

"Acara kami bising tetapi kami tidak mengambil dadah, jadi ujian itu (ujian dadah) sentiasa negatif," katanya.



Dengan penampilan mereka menakutkan – lengan bertatu, kepala dicukur dan berpakaian kulit – skinhead sering dikaitkan dengan semua perkara negatif – samseng, perkauman, pengacau dan banyak lagi – tetapi satu festival muzik baru-baru ini di Kuala Lumpur menunjukkan kumpulan itu sebenarnya berbeza.

SHARP Malaysia baru-baru ini menganjurkan konsert 2 hari di Kuala Lumpur yang menyaksikan kira-kira 200 peserta dari Jepun, Indonesia dan negara-negara lain berkumpul untuk kali pertama di negara ini.

Dengan lebih daripada 1,000 orang ahli di seluruh negara, SHARP Malaysia menegaskan mereka anti-perkauman dan tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan gengsterisme walaupun apa jua penampilan mereka.

"Kita juga anti-dadah dan anti-keganasan. Ini adalah sebahagian daripada prinsip-prinsip teras kita walaupun ramai di luar sana berfikir sebaliknya," kata Bob.

SHARP tidak boleh dikelirukan dengan kumpulan skinhead tempatan lain, walaupun rupa mereka sama, Bob kepada The Malaysian Insider.

Sebaliknya, SHARP menjauhkan diri daripada kumpulan tersebut, yang menggalakkan kepercayaan neo-Nazi.

Di Malaysia, kumpulan ini memegang pandangan ketuanan Melayu dan pejuang "kebanggaan Melayu" sama seperti kumpulan versi United Kingdom (UK) yang menggalakkan "kebanggaan kulit putih".

"Tetapi kepercayaan dan moto kita (SHARP) adalah 'perpaduan, hormat menghormati dan persaudaraan’. Rangkaian kita ada di seluruh dunia.


"Apabila kumpulan skinhead yang asal berpecah, seorang mengambil pendirian yang bersifat perkauman dan dikenali sebagai kumpulan Nazi. Dan kemudian SHARP ditubuhkan kemudian sebagai respons kepada mereka," katanya yang berusia 30 tahun.

Skinhead merupakan cabang kebudayaan (sub-culture) yang asalnya boleh dikesan daripada belia kelas pekerja di England pada tahun 1960-an, menjadi popular di Malaysia pada awal 90-an apabila muzik Oi (punk rock) yang dikaitkan dengan mereka mula berkembang.

"Muzik banyak mempengaruhi. Orang pada mula mendengarnya kerana ia sedap didengar dan kemudian mula mengkaji pesanan yang dikongsi melalui muzik tersebut.

"Ia anti-perkauman dan penindasan sehingga menjadi budaya skinhead di sini. Kami kemudian mengamalkan cara berpakaian dan dan ideologi skinhead," katanya.

Yang menariknya, Bob, yang menjadi skinhead pada tahun 2001, bertemu wanita impiannya 7 tahun lalu dalam kumpulan tersebut dan memperisterikannya beberapa tahun lalu.

"Dia sangat aktif dalam aktiviti skinhead sebelum berkahwin. Kami pergi ke gig dan pernah merakamkan beberapa lagu bersama-sama dan kini kami menanti anak pertama kami lahir tidak lama lagi," katanya.

Dalam majoriti penganut Islam di Malaysia, kumpulan ini sering digambarkan sebagai pemberontak yang tidak mempunyai agama, tetapi Bob, seorang Melayu, cuba menghilangkan tanggapan ini.

"Hanya kerana kami skinhead, ia tidak bermakna kami orang Islam yang tidak baik atau kami sudah terpesong. Ya, skinhead dikaitkan dengan tatu akan tetapi ramai di antara kita, termasuk saya, memilih untuk tidak bertatu. Kami mengamalkan budaya tersebut berdasarkan nilai-nilai agama kami, "katanya.

Beliau menambah, SHARP, terdiri dari kelas pekerja dan juga termasuk golongan profesional seperti arkitek dan jurutera.

"Ini sebahagian daripada budaya kita. Di mana kita adalah sebahagian dari kelas pekerja," kata Bob, yang bekerja di sebuah syarikat Belanda.

Bob kesal acara SHARP dan gig diserbu dan ahli kumpulan ditahan kerana disyaki mengambil dadah.

Disebabkan konotasi negatif yang dikaitkan dengan kumpulan itu, SHARP masih berhati-hati dalam membenarkan publisiti sendiri, mengatakan media sedikit sebanyak bertanggungjawab ke atasnya.

"Jika seseorang ditahan kerana mencuri dan beliau didapati seorang skinhead, media akan memainkannya dan menyalahkan budaya tersebut.

“Hakikatnya, penjenayah tidak semestinya hanya skinhead. Boleh menjadi sesiapa sahaja," kata Bob. (The Malaysian Insider)



No comments:

Post a Comment