Saturday, 17 January 2015

Australia tak benar Sirul dibawa pulang



Australia tidak akan memenuhi permohonan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan perintah ekstradisi bagi membawa pulang bekas anggota elit polis, Sirul Azhar Umar.
Laporan Sydney Morning Herald menyebut, permohonan tersebut tidak akan dipenuhi kerana ia melibatkan hukuman mati.

Laporan itu memetik kenyataan Jabatan Peguam Negara Australia yang menyebut, ia hanya akan dipenuhi sekiranya Malaysia berjanji untuk tidak menjalankan hukuman mati tersebut.

“Undang-undang ekstradisi Australia tidak membenarkan seorang individu diserahkan kepada sebuah negara untuk satu kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati, melainkan negara itu memberi kepada Australia satu janji bahawa hukuman mati tidak akan dijalankan,” laporan itu dipetik.

Australia merupakan salah sebuah negara yang tidak memperuntukkan hukuman mati dalam undang-undangnya.

Sirul Azhar (kiri), yang merupakan tertuduh kedua kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, tidak hadir ke mahkamah pada hari Selasa lalu dan susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya
  
Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) selepas didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan tahun lepas.  
  
Mahkamah Persekutuan juga sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan kedua-dua mereka.
  
Mahkamah Persekutuan mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.
  
Pada 9 April 2009 Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul Azhar dan tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri selepas didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan tahun lalu.

Gambar Sirul, 43, dan Azilah, 38 (kanan) juga diperolehi hari ini dengan ehsan polis Bukit Aman.

Sirul dan Azilah sebelum ini berjaya mengelak wajah mereka dirakam oleh lensa kamera sepanjang tempoh perbicaraan dan rayuan, sejak hampir sedekad lalu.

Kedua-duanya menutup wajah masing-masing dengan rapi ketika dibawa masuk dan keluar daripada bilik mahkamah. (Malaysiakini)

No comments:

Post a Comment