Monday, 19 January 2015

JKKKP akan urus daftar pemilih, kata menteri




Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan akan menguruskan pendaftaran pemilih di seluruh negara, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kini diberikan peranan baharu untuk menguruskan pendaftaran pemilih di seluruh negara, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.


Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan persetujuan akhir tahun lepas supaya JKKKP membantu mereka mengemas kini maklumat serta mendaftar pemilih baharu mengikut peraturan sedia ada di kawasan masing-masing.

"JKKKP adalah anggota bergaji oleh pihak kerajaan seumpama Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ataupun Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang akan jadi pihak menguruskan daftar pemilih di peringkat bahagian," katanya di Bangunan Umno Selangor, Shah Alam hari ini.

Turut hadir Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Shafie yang juga Naib Presiden Umno berkata usaha melantik JKKKP sebagai pegawai bertauliah bagi menguruskan pendaftaran pemilih di seluruh negara adalah untuk memastikan proses pendaftaran pemilih dapat dilakukan dengan lebih berkesan berlandaskan tuntutan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Langkah itu juga, katanya bagi menangkis tohmahan oleh pihak-pihak tertentu yang mendakwa terdapat pengundi hantu dan sebagainya menjelang pilihan raya umum.

Dalam pada itu, Shafie berkata 400,000 anggota Umno masih lagi belum didaftarkan sebagai pengundi dan usaha akan diperkasakan bagi mendaftar mereka.

Katanya, pihaknya menghadapi kesukaran mendaftar sebilangan anggota Umno sebagai pengundi disebabkan mereka yang terlibat berpindah-randah dari satu negeri ke negeri yang lain dan ia sekali gus menyukarkan jentera di peringkat bahagian untuk mengesan mereka.

Sementara itu, Noh berkata Umno Selangor kini giat menjalankan proses pemutihan untuk membetulkan maklumat peribadi anggota Umno yang berdaftar sebagai pengundi di negeri itu. (The Malaysian Insider)


No comments:

Post a Comment