Sunday 25 January 2015

Isu video penyanyi, 4 anggota polis ditukar



Empat anggota polis dikaitkan dengan rakaman dan penyebaran klip video seorang penyanyi lelaki era 1990-an yang ditahan beberapa hari lalu berhubung kes dadah, telah ditukarkan ke bahagian operasi pejabat.
  
Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata kesemua mereka masih bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik tetapi tidak lagi terlibat dengan kerja berkaitan penyiasatan dan operasi.
  
"Mereka ditugaskan untuk kerja pejabat atau non-active task. Keputusan muktamad mengenai kedudukan mereka hanya akan dibuat selepas selesai siasatan," katanya kepada pemberita pada satu majlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam semalam.
  
Abdul Samah berkata pihaknya masih menyiasat sekiranya ada lagi anggota yang terlibat dalam insiden yang mencuri perhatian ramai itu kerana klip video yang tersebar di laman sosial itu memaparkan penyanyi berkenaan disuruh menyanyi dengan tangannya bergari ketika dalam tahanan.
  
Ia mendapat kecaman pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai tindakan membuli dan menjatuhkan maruah penyanyi itu.

Abdul Samah berkata siasatan mengenai insiden itu tetap dijalankan walaupun penyanyi berkenaan dilapor telah mengeluarkan kenyataan memaafkan anggota yang melakukan kesalahan itu.
  
"Kita tidak akan melindungi mana-mana anggota kerana ini kesalahan serius yang bukan hanya memalukan individu berkenaan malah ia turut mencemarkan kredibiliti Polis Diraja Malaysia," tegasnya.
  
Penyanyi itu dan seorang wanita yang ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Keramat pada Rabu lepas, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini dan tempoh reman empat hari terhadap mereka tidak disambung.
  
-Bernama

No comments:

Post a Comment