Monday 19 January 2015

Sekat fahaman fanatik di sekolah, kata Speaker Sabah


Kerajaan harus memantau dan mengetatkan peraturan sedia ada khususnya ke atas sekolah swasta dan persendirian di negara ini, yang disyaki menanam ideologi fanatik, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said 


Beliau berkata langkah itu perlu bagi menyekat penyebaran fahaman fanatik dalam kalangan pelajar, sekali gus mengelak anak-anak terpengaruh dengan ajaran ekstrem sehingga boleh mencetuskan keadaan huru-hara dan permusuhan.


Menerusi pemantauan, tindakan tegas lebih awal dapat dilakukan oleh kerajaan, kata Salleh, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan, menerusi kenyataan hari ini.


Beliau berkata sebarang perkara yang boleh menimbulkan pertelingkahan juga seharusnya dibincang secara tertutup atas semangat saling menghormati demi mengekalkan suasana aman, khususnya di Sabah yang sememangnya aman damai sejak merdeka.

Dalam pada itu, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, berkata sistem pendidikan harus mampu melahirkan generasi baharu Sabah yang berdisiplin, memiliki keyakinan diri, berkemahiran serta berfikiran sederhana dalam hubungan antara kaum dan agama.


"Mereka (pelajar) wajib memahami sejarah pembentukan negara dan mampu merebut peluang ekonomi dan pekerjaan yang tersedia di mana-mana pun, termasuk di luar negara. Sudah pun terbukti, anak-anak Sabah mampu dan boleh bersaing dalam semua profesion," katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment