Thursday 22 December 2011

TYT DIDESAK TARIK BALIK PINGAT ‘JP’ HAMZAH

OLEH : SHAIMON S JUMADI

EKORAN serangan penghinaan, cacian, fitnah dan tuduhan liar bertubi-tubi yang dilemparkan oleh Ketua PAS Batu Sapi, Haji Hamzah Abdullah dan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Citra Masadi terhadap Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Haji Juhar Hj Mahiruddin, menyebabkan satu lagi laporan polis dibuat terhadap dua individu berkenaan di Balai Polis Sandakan, kelmarin.

Timbalan Pengerusi Pewaris Pengiran Digadong Samma, Pengiran Hj Ismail Pengiran Hj Damsa, yang mengetuai seramai 8 orang ahlinya pergi ke Balai Polis Bandar Sandakan untuk membuat laporan polis kerana tidak setuju dengan tindakan Hamzah dan Citra yang memfitnah, menghina dan membuat tuduhan liar terhadap TYT tanpa bukti yang kukuh.

Yang menghairankan, kata Pg Ismail, sebelum Tun Juhar dilantik sebagai Yang DiPertua Negeri Sabah tiada satu bendapun yang dibongkar atau diselongkar; terutama isu peribadinya oleh pihak tertentu termasuk PKR dan PAS.

“Kenapa baru sekarang sesudah beliau (Juhar) dilantik memegang jawatan sebagai TYT, macam-macam hal berlaku. Fitnah sana, tuduh sini; hina sana, caci sini. Apa tujuan mereka sebenarnya untuk mengaibkan orang yang tidak berdosa?

“Hamzah sepatutnya berasa bangga kerana sebagai seorang anak jati kelahiran Sandakan, ada pemimpin dari daerah Sandakan telah diberi penghormatan dan seterusnya dilantik sebagai jawatan nombor satu dalam takhta kerajaan negeri Sabah,” kata Pg Ismail semasa diwawancara Sabahkini.Net sejurus selepas mereka membuat laporan polis.

Kata Pg Ismail lagi, senario ini sudah jelas membuktikan bahawa parti-parti pembangkang di Sabah seperti PAS dan KeAdilan (PKR) sudah hilang arah dan sudah ketandusan ilham untuk membuat propaganda menyerang kerajaan BN sehingga tergamak mengheret TYT ke gelanggang politik.

“Sebagai Yang DiPertua Negeri Sabah yang mempunyai kuasa mutlak, bagi pihak ahli-ahli Gabungan Pewaris Pengiran DiGadong Samma, saya mencadangkan agar TYT supaya melucutkan, menggugurkan dan menarik balik pingat Jaksa Pendamai (JP) yang telah diberikan kepada Hamzah Abdullah kerana beliau tidak pandai mengenang jasa-jasa kerajaan,” tegas Pg Ismail yang mahu Hamzah diberi pengajaran sewajarnya.

Selain itu, kata Pg Ismail, pihaknya juga akan melantik seorang peguambela dan peguamcara untuk menfailkan saman terhadap Hamzah dan Citra Masadi kerana mereka berkelakuan biadap tidak sopan kerana menghina, menfitnah; serta mencaci kedudukan Tun Juhar sebagai Ketua Negeri Sabah dengan sewenang-wenangnya, tanpa memikirkan risikonya di kemudian hari.

Pg Ismail menambah, banyak lagi isu lain yang boleh dibangkitkan sebagai modal propaganda untuk memesongkan fikiran rakyat, tetapi bukanlah jawatan Yang DiPertua Negeri jadi sasaran dan dipolitikan sehingga menjatuhkan maruah dan mengaibkan orang tujuan sebenarnya pihak pembangkang berbuat sedemikian rupa.

Berikut Isi Kandungan Laporan Polis SKN/RPT/16417/2011;

“Saya Hj Pengiran Ismail Pg Hj Damsa selaku Timbalan Pengerusi Gabungan Pewaris Pengiran Digadong Samma melaporkan kes Penghinaan, Cacian dan Fitnahaan keatas Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah Tun Haji Juhar Mahiruddin yang dilemparkan oleh dua orang penama Hj Hamzah Abdullah Ketua PAS Batu Sapi dan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah Citra Masadi.

Kami tidak setuju dengan tindakan dua orang yang dimaksudkan kerana telah menghina, mencaci, memfitnah dan mengaibkan kepada Tun Juhar Sebagai Ketua Negeri.

Laporan ini dibuat kami minta pihak Polis mengambil tindakan kepada Hamzah dan Citra kerana mereka berdua telah menjatuhkan maruah terhadap Tun Juhar sebagai TYT Yang DiPertua Negeri Sabah.”

No comments:

Post a Comment