Thursday, 22 December 2011

PENGUATKUASAAN KKIA BERTINDIH?

Saudara Pengarang,

SAYA mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah, kepada Pegawai-Pegawai Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) terminal satu kerana berjaya menahan dan memberkas pembawa dadah masuk ke negara kita.

Seandainya, pegawai-pegawai Kastam ini alpa, maka sudah tentu ribuan rakyat kita akan menjadi korban penagihan dadah. Begitu juga dengan kecekapan pihak Polis, yang berjaya menahan 11 kilogram dadah di Terminal Dua KKIA. Tanpa usaha mereka, sudah tentu negara ini akan menjadi laluan dadah antarabangsa tanpa menimbulkan keraguan.

Bagaimanapun, sebagai seorang pengurus salah sebuah agensi pelancongan di Ibu negeri, terdapat beberapa rungutan yang disuarakan oleh para pelancong yang melalui Terminal Satu KKIA.

Mereka bersungut kerana terpaksa melalui dua pemeriksaan. Pemeriksaaan pertama dibuat oleh pihak Polis dan pemeriksaan kedua dibuat oleh pihak Kastam. Mereka berkata, tidak pernah mereka melalui sistem sebegini di mana-mana negara yang mereka lawati.

Mereka menghormati pemeriksaan yang dilakukan dan faham akan tugas mereka, tetapi bukankah lebih logik dan sistematik jika hanya satu agensi sahaja yang membuat pemeriksaan.

Pada saya, pihak Kastamlah yang lebih sesuai membuat pemeriksaan, sama ada untuk memeriksa barang-barang bercukai ataupun dadah. Ini adalah disebabkan, Kastam dilengkapi dengan mesin pengimbas.

Mesin pengimbas Kastam lebih canggih, sistematik dan cepat bagi membolehkan para pelancong mempercepatkan perjalanan mereka. Pihak Polis pula, terpaksa membuka beg pakaian pelancong dan adakalanya apabila beg dibuka, pakaian bertaburan dan menyulitkan para pelancong. Ada ketikanya juga, para pelancong wanita kurang selesa, apabila pakaian dalam mereka disentuh oleh pihak Penguatkuasa Polis lelaki.

Keadaan seperti ini memberi gambaran negatif kepada para pelancong kita. Seperti yang kita sedia maklum, peratusan pelancong datang ke Sabah semakin meningkat dan memberi pulangan hasil kepada negeri ini dengan lumayan.

Sehubungan dengan itu, saya berharap pemeriksaan dapat dilakukan oleh satu agensi sahaja bagi mengelak tanggapan negatif masyarakat luar terhadap sistem penguatkuasaan kita yang bertindih-tindih.

Pencegahan peyeludupan dadah sangat penting, tetapi biarlah ia dilakukan dengan lebih sistematik supaya sistem itu nanti tidak akan membuat tetamu kita berasa sangat tidak selesa dan mengalihkan pula tumpuan lawatan mereka ke tempat lain. Ini adalah cadangan ikhlas dan sukarela.

Salam Hormat,

AGEN PELANCONG

No comments:

Post a Comment