Saturday, 1 June 2013

KAEDAH BARU PEMILIHAN UMNO






KUALA LUMPUR : Pemilihan Umno akan dilaksanakan tahun ini dengan mengguna pakai perlembagaan baharu parti yang membuka peluang kepada hampir 500,000 ahli di peringkat akar umbi menentukan pucuk pimpinan parti.

Pemilihan itu akan dijalankan selepas mesyuarat peringkat bahagian dan sebelum perhimpunan agung parti, kata Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat.

Beliau berkata satu pasukan khas diketuai bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali ditubuhkan untuk menerangkan kaedah pemilihan baharu berdasarkan perlembagaan parti yang dipinda pada 2009.

"Perlembagaan parti yang baharu ini lebih mencabar dan lebih kompleks kerana sejajar dengan pembaharuan dan reform yang telah kita mulakan tiga tahun dulu tapi belum kita kuat kuasakan pemilihan menggunakan perlembagaan yang baharu.

"Dari segi pemilihan Majlis Tertinggi, hampir 150,000 orang akan terlibat dalam menentukan pucuk pimpinan parti daripada presiden sampai kepada Majlis Tertinggi. Ini tidak termasuk 100,000 orang daripada setiap sayap Wanita, Pemuda dan Puteri," jelas Najib.

"Walaupun tanggungjawab tidak sama dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) tapi ia jauh lebih besar daripada apa yang telah kita lalui sebelum ini," kata Najib.

Beliau berkata proses pemilihan baharu itu akan dijalankan secara serentak di 191 bahagian di seluruh negara dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Mengenai kaedah pelaksanaan pemilihan itu, Najib berkata: "Cara mana nak buat angkat tangan, biometrik, dakwat kekal dan macam-macam lagi, perkara masih diperincikan lagi."

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat cawangan akan hanya bermula selepas proses penerangan di peringkat negeri selesai dilaksanakan pasukan khas yang turut disertai Setiausaha Agung, Setiausaha Kerja dan beberapa anggota parti.

"Tarikh paling awal yang dapat kita adakan mesyuarat cawangan ialah 15 Julai. Jadi kita tetapkan 15 Julai hingga 31 Ogos untuk mesyuarat cawangan diikuti mesyuarat perwakilan bahagian dan perhimpunan agung.

"Kedua-dua tarikh itu akan diumumkan selepas kita dapatkan maklum balas dari pasukan yang turun padang. Dan kita akan tengok dari segi kefahaman dan keperluan logistik untuk kendalikan pemilihan yang melibatkan jumlah begitu besar yang belum pernah kita lakukan sebelum ini," kata Najib.

No comments:

Post a Comment