Friday 31 May 2013

SALLEH SOKONG SEKAT NURUL KE SABAH






KOTA KINABALU : Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak menyokong penuh keputusan kerajaan negeri meminta Pengarah Jabatan Imigresen Negeri menghalang naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar memasuki Sabah semalam.

Beliau berkata kuasa menghalang seseorang daripada memasuki Sabah disebut dengan jelas oleh Seksyen 66 Akta Imigresen.

"Bagaimanapun, peruntukan undang-undang berupa rayuan, sentiasa ada bagi Nurul Izzah. Saya percaya keputusan ini bukan bersifat politik, tetapi untuk menjaga kepentingan dan kestabilan Sabah.

"Sabah perlu menyekat kemasukan mana-mana ahli politik dari luar negeri ini tanpa mengira kecenderungan politik mereka, yang datang ke negeri kami dengan niat untuk menanam perasaan curiga dan benci dalam kalangan rakyat kami," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Sambil menegaskan bahawa rakyat Sabah tidak mahu mengamalkan budaya politik 'pecah dan perintah' seperti yang terdapat di tempat lain, Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata Sabah merupakan sebuah negeri yang sentiasa aman serta harmoni dan "kami berbangga dengan perpaduan dalam kepelbagaian kami".

"Kami tidak boleh membiarkan kepentingan Sabah dipermainkan oleh ahli politik tidak jujur dari Semenanjung Malaysia yang ingin memburu kemegahan politik peribadi," katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment