Sunday 14 December 2014

Husam: 1MDB akan binasakan Najib



Naib presiden PAS, Datuk Husam Musa membayangkan bahawa masa depan politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan binasa apabila dakwaan skandal dalam syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad didedahkan.

Husam menjangkakan bahawa serangan ke atas Najib akan dilancarkan oleh tokoh yang kuat berpengaruh dalam Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum tamat penggal parlimen ini.

“Saya percaya, pengkritik utama Najib seperti Tun (Mahathir), sudah pun mempunyai jerangkap samar untuk meletupkan survival politik Najib sebelum PRU yang akan datang,” kata Husam dalam kenyataannya.

Husam berkata, andaiannya itu berdasarkan perkembangan besar yang berlaku dalam tempoh yang singkat, sebaik selepas Najib berlepas ke Korea Selatan pada hari Selasa lalu.

Beliau menggariskan laporan polis oleh seorang pemimpin bahagian Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ke atas 1MDB semalam dan juga mesyuarat Kabinet pada hari Rabu lalu yang didakwa turut membangkitkan isu syarikat pelaburan negara itu.

“Laporan polis oleh salah seorang pemimpin Umno bahagian sendiri dan Kabinet turut membincangkan isu ini semasa ketiadaan Najib, adalah perkembangan baru (yang) bakal membawa impak besar,” kata Husam.

Husam berkata, kebocoran kandungan mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu pasti dibuat dengan “niat tertentu”.

“Ia sudah tentu akan diminitkan dan sekembalinya Najib nanti, beliau pasti akan membaca minit tersebut untuk pengesahan mesyuarat kabinet akan datang. Apa reaksi beliau dalam mesyuarat akan datang?

“Mengapa menteri berkenaan berani membangkitkan atau berani mengambil kesempatan ketika ketiadaan PM?,” soalnya.

Tambahnya, perkembangan ini juga memberi ujian kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sama ada akan membenarkan polis menyiasat kes tersebut secara profesional.

“Beranikah beliau membenarkan polis bertindak profesional dalam isu ini?,” katanya lagi yang menegaskan bahawa Najib perlu menjelaskan isu berkenaan secara keseluruhannya.

Najib dilaporkan berlepas pulang ke Kuala Lumpur dari Busan semalam. (Malaysiakini)
 

No comments:

Post a Comment