Laporan Inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dikeluarkan di Kota Kinabalu hari ini hanya menggesa kerajaan pusat dan negeri melaksanakan iltizam politik yang tinggi bagi menangani masalah pendatang asing tanpa mendedahkan individu bertanggungjawab dalam Projek IC. – Gambar fail The Malaysian Insider, 3 Disember, 2014.
Sindiket dan mereka yang menerima bantuan dari pegawai yang rasuah dikenalpasti melakukan 'Projek IC' di Sabah bagi memenuhi agenda politik dan wang, menurut Laporan Inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), yang bagaimanapun tidak menyebut mengenai siapa yang bersalah mengubah keseimbangan demografi dan agama di negeri itu.
Laporan RCI mengenai pendatang tanpa izin di Sabah setebal 368 muka surat itu didedahkan kepada umum di Kota Kinabalu hari ini, beberapa bulan selepas ia siap dan dua tahun selepas ia ditubuhkan.
Ia tidak menamakan mana-mana pihak yang bersalah kerana perkara itu tidak termasuk dalam skop bidang tugas suruhanjaya itu, seperti dinyatakan dalam terma rujukannya.
Sesi inkuiri yang berlangsung selama sembilan bulan bermula Januari hingga September tahun lalu turut menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas menteri Umno Tan Sri Aziz Shamsuddin, bekas ketua menteri Sabah dan pejawat awam daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen dipanggil memberikan keterangan.
Selain itu, turut dipanggil memberi keterangan ketika prosiding RCI adalah pendatang warga Filipina, Indonesia, Pakistan dan India.
Laporan itu tidak menafikan kewujudan Projek IC, dan beranggapan ia "mungkin wujud" berdasarkan testimoni saksi yang mengaku terlibat dalam perkara itu.
Nama-nama besar bekas penjawat awam yang menjadi saksi bagaimanapun tidak pernah mengakui kewujudan salah laku tersebut, begitu juga saksi yang diperiksa balas, kata laporan itu.
Paling baikpun, laporan itu menyatakan dokumen kerakyatan diberikan secara haram oleh sindiket dan individu rasuah yang mengeksploitasi sistem kerajaan yang lemah.
RCI berpendapat, berdasarkan fakta, jelas terdapat dua bahagian dalam isu sama ada benar atau tidak "yang dikatakan Projek IC itu wujud."
"Pada satu pihak, kita mempunyai saksi yang menerangkan dengan terperinci penglibatan aktif mereka dalam projek tersebut dan juga penyertaan ahli politik berprofil tinggi tertentu.
"Di sebelah pihak satu lagi, ahli politik ini memberi keterangan di hadapan RCI, menafikan dengan tegas semua dakwaan yang dikenakan terhadap mereka."
Menurut laporan itu, 5 saksi daripada JPN yang didakwa terlibat secara peribadi dan aktif dalam projek itu sudah memberi keterangan yang menyokong testimoni satu sama lain yang diberi kepada RCI .
"Pada hakikatnya, mereka secara kolektif mengakui penglibatan bersama secara terperinci. Tambahan pula, mereka membuat tuduhan yang berat terhadap pemimpin politik yang berkuasa," katanya.
RCI berkata, ia mengambil kira keterangan yang, pada tahun 1990-an, pertumbuhan penduduk di Sabah meningkat sebanyak 78%, peningkatan tertinggi sejak Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia.
"Ia adalah tempoh apabila terdapat bukti menunjukkan wujud sebilangan besar pendatang haram yang diberikan kad pengenalan Malaysia melalui akuan berkanun bagi tujuan politik.
"Kesimpulannya, terdapat kebarangkalian projek sedemikian memang wujud sepanjang masa itu," kata RCI . (TheMalaysianInsider)
No comments:
Post a Comment