Wednesday 3 December 2014

K'jaan terima syor RCI tubuh JK tetap


Kerajaan bersetuju menerima syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah supaya sebuah jawatankuasa tetap ditubuhkan. 
 
Ketika mengumumkan laporan RCI di Kota Kinabalu hari ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata jawatankuasa tetap itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah, yang akan melaporkan kepada Jemaah Menteri yang dipengerusikan perdana menteri.
 
"Keahlian, terma rujukan serta bidang kuasa jawatankuasa itu akan ditetapkan pada masa terdekat," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Saripuddin Kasim, yang sebelum ini merupakan Setiausaha RCI, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman.
 
Pada masa yang sama, Ali berkata sebuah jawatankuasa kerja dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan akan ditubuhkan.
 
Katanya jawatankuasa kerja itu antara lain akan meneliti isu-isu dibangkitkan oleh laporan RCI serta maklum balas, aduan dan pandangan masyarakat Sabah untuk diketengahkan kepada Jawatankuasa Tetap.
 
Ali berkata RCI sebelum itu telah mengesyorkan dua cadangan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan iaitu penubuhan jawatankuasa tetap itu dan akan dibantu sebuah jawatankuasa pengurusan pendatang asing yang diberi kuasa yang secukupnya. 
 
Katanya sekiranya cadangan itu tidak dipersetujui kerajaan, RCI mengesyorkan supaya suatu Majlis Penasihat Mengenai Pendatang Asing ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh profesional dan dianggotai pegawai kanan kerajaan, tokoh korporat, tokoh akademik, wakil perundangan, wakil Pejabat Peguam Negeri dan pihak lain yang bersesuaian.
 
Ali berkata dalam mencari penyelesaian ke atas isu kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah, suruhanjaya telah meneliti tiga cadangan daripada saksi-saksi.
 
Menurutnya cadangan pertama adalah menarik balik semula kad pengenalan yang diberi secara haram dan suruhanjaya mendapati cadangan ini mempunyai merit tersendiri tetapi timbul kesukaran dalam mekanisme untuk mengenal pasti dan mengesan kad pengenalan.
 
Katanya cadangan kedua iaitu memperkenalkan 'Kad Pengenalan Sabah' kepada penduduk Sabah Asli, bagaimanapun suruhanjaya mendapati tiada sebarang mekanisme pelaksanaan dikemukakan oleh mana-mana saksi. 
 
Cadangan ketiga iaitu penubuhan jawatankuasa tetap mengenai pendatang asing di Sabah dan didukung oleh sebuah jawatankuasa pengurusan, kata Ali. 
 
Buku laporan RCI mula dijual esok dengan harga RM100 senaskhah dalam versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Ia boleh dibeli di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah di Kota Kinabalu dan 'One Stop Centre' Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.
 
RCI ditubuhkan pada 11 Ogos 2012 dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim dan turut dianggotai bekas naib canselor Universiti Malaysia Sabah Prof Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Tan Sri Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk K.Y Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga bekas Peguam Besar Negeri Sabah Tan Sri Herman J. Luping.
 
Suruhanjaya itu antara lain diberi kuasa menyiasat jumlah pendatang asing di Sabah yang telah diberikan kad pengenalan atau kewarganegaraan.
 
RCI menamatkan prosiding siasatan mereka pada 20 September tahun lepas dengan memanggil 211 saksi termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bernama

No comments:

Post a Comment