Wednesday 10 December 2014

KURANGKAN HIV UNTUK WANITA, KATA LINDA TSEN


OLEH: SAIMON S JUMADI


Linda….( 2 kiri) menyempurnakan Hari Aids Sedunia.

SANDAKAN: Hari AIDS Sedunia adalah satu peluang untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit HIV dan mengingatkan masyarakat agar mengamalkan  ilmu yang diperolehi dengan sebaik mungkin.


“Sekiranya kita memahami bagaimana HIV boleh  berjangkit, maka kita pasti tahu bagaimana  untuk mengelak daripada dijangkiti. Bagi mereka yang disahkan positif, anda mesti tahu dan mengambil langkah untuk melindungi diri anda daripada menjangkiti orang lain,” kata Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Linda Tsen Tahun Lin semasa merasmikan program sempena Hari AIDS Sedunia di Pasar Mingguan Sandakan Street Fair kelmarin.

Semenjak kes pertama di Malaysia pada tahun 1986 sehingga Disember 2013, terdapat seramai hampir  102,000 (101,672 - anggaran sebenar) orang yang dikesan menghidap penyakit HIV. Lebih merungsingkan adalah 34% daripada mereka yang dikesan adalah terdiri daripada kalangan golongan orang muda umur sekitar 13-29 tahun, kata Linda.

Statistik menunjukkan, terdapat 60 % pengurangan kes baru  di kalangan lelaki tetapi kes semakin bertambah di kalangan wanita . Pada 5 tahun kebelakangan ini, 10% daripada kes yang dikesan terdiri daripada golongan surirumah, tambah beliau.

“Tahun lepas sahaja di Malaysia seramai 728 kes wanita dikesan daripada  seramai 3393 jumlah kes baru HIV. Negeri yang paling ramai surirumah yang dikesan positif adalah dari negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Punca utama wanita dijangkiti yang dikenalpasti  adalah melalui jangkitan heteroseksual  dan menyedihkan adalah seramai 2% bayi yang dilahirkan dijangkiti oleh ibu yang positif. Melalui saringan HIV yang dibuat ke atas semua ibu yang hamil yang berklinik untuk penjagaan antenatal menunjukkan bahawa punca jangkitan di kalangan wanita yang telah berkahwin  adalah melalui pasangan mereka yang berisiko, kata Linda.

Menurut Linda, sudah tiba masanya bahawa kita perlu berganding bahu untuk memperkasakan wanita dan golongan pemudi mengenai pengetahuan yang betul mengenai HIV, cara mencegah, membuat saringan, mencegah daripada mendapat jangkitan , mendapat rawatan dan bagaimana mendapatkan rawatan.


Sempena Hari AIDS Sedunia ini, SAGA telah mengedar beribu-ribu riben merah di sekitar bandar Sandakan. Manakala Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan akan mengadakan ceramah HIV pada 12 Disember di bilik  seminar Lembaga Hasil Dalam Negeri di Batu 7 untuk semua kakitangan awam, agensi-agensi dan para pekerja estet.

No comments:

Post a Comment