Wednesday 31 December 2014

NGO Melayu mahu polis siasat SKMM pula

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bertanggungjawab menyiasat dakwaan salah laku di Internet, tetapi sebuah NGO Melayu tampil menuntut supaya badan itu juga disiasat kerana didakwa gagal bertindak.


Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), yang sering mencuri perhatian dengan penampilan berseragam ala pasukan penguat kuasa, membuat laporan polis berhubung perkara itu di Kuala Lumpur hari ini.

Mereka menuntut Polis Diraja Malaysia (SPRM) menyiasat SKMM yang didakwa tidak menjalankan tugas membendung “pemfitnah dan penghasut” di Internet, terutamanya melalui laman sosial.

“Sempena akhir tahun (2014), saya menggesa PDRM siasat SKMM sampai ke akar umbi, (cari sebab) kenapa perkara ni berlaku.

“Kenapa sekarang banyak penghinaan, termasuk isu banjir pun difitnah,” kata presidennya Abdul Rani Kulup Abdullah (atas).

Sebelum ini, MJMM membuat laporan polis yang terhadap sebuah akaun Facebook yang menyiarkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang disunting menyerupai sami Hindu.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Abdul Rani berkata, beliau sedih apabila SKMM tidak menubuhkan unit khas bagi memantau perkara itu.

“Perkara ini boleh selesai kalau SKMM benar-benar mahu bekerjasama dengan PDRM,” katanya lagi.

MJMM diiringi aktivis daripada Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS).(Malaysiakini)

No comments:

Post a Comment