OLEH: SHAIMON S JUMADI
FOTO DAVID ONG
ELOPURA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Datuk Au Kam Wah memberi jaminan bahawa penduduk perumahan LPPB dan Sri Taman di kilometer 6.9 Jalan Utara akan mendapat kemudahan rekreasi termoden. Projek pembinaannya sedang berjalan lancar berhampiran dengan kawawan perumahan tersebut.
Au berkata demikian kepada media sejujus selepas dalam rangka lawatan ke tapak projek tersebut bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) sambil diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) Datuk Haji Alipudin KK Puyon dan Pengerusi Rukun Tetangga Sri Taman Hussien Sukan kelmarin.
Selanjutnya beliau juga memberitahu bahawa projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia ini dilaksanakan bawah rancangan Jabatan Landskap Negara bagi membina sebuah taman dengan kemudaha-kemudahan rekreasi dan landskap supaya menggalakkan penduduk berdekatan untuk bersenaman dan riadah.
Katanya Taman rekreasi baru ini mempunyai sebuah padang bola sepak dan sebuah taman permainan bagi kanak – kanak yang lebih luas, iaitu lantai bagi kawasan tersebut akan diliputi dengan pad getah bagi menjamin keselamatan.
“Di samping itu, terdapat juga Plaza riadah dan kecergasan yang dilengkapi dengan kemudahan beberapa peralatan kecergasan d samping menawarkan lokasi yang sesuai dan selamat kepada penduduk untuk menjalankan aktiviti kesihatan yang mudah.”
“Bangku–bangku batu dan laluan pejalan kaki simen juga akan dibina di sekeliling taman serta untuk mewujudkan persekitaran yang hijau dan nyaman. Pihak berkuasa juga akan menanam pokok di sekitarnya,” Ujarnya
Tambahnya, walaupun projek pembinaan baru sahaja dilancarkan, namun keseluruhan projek ini dijangka akan siap sepenuhnya dalam masa terdekat ini dan akan terbuka kepada orang ramai selepas siap sepenuhnya.
Sementara Pengerusi JKDB Sri Taman dan Pengerusi Rukun Tetangga Sri Taman disaran supaya mewujudkan program mengajar penduduk tempatan dan kanak – kanak tentang penggunaan dan penjagaan harta awam supaya mengelakkan berlakunya vandalisme kemudahan taman tersebut kerana pernah berlaku kemudahan yang baru dipasang telah dirosakkan sepenuhnya dalam masa 1 minggu sahaja sehingga orang lain tidak dapat menggunakannya.
Au memandang serius terhadap isu-isu penyelenggaraan dan pengurusan kemudahan taman rekreasi dan berharap penduduk tempatan supaya menghargai dan memelihara harta benda awam yang disediakan khususnya kemudahan yang direka cipta, kerana apabila peralatan ini dirosakkan ianya amat sukar diperbaiki.
Au berkata lagi bahawa, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) kawasan Elopura buat pertama kalinya mempunyai taman rekreasi moden, halatuju pembangunan seterusnya pada tahun hadapan akan memberi tumpuan lebih dalam menaiktaraf kemudahan di taman–taman rekreasi di sekitar kawasan Elopura bagi tujuan menggalak dan memupuk tabiat bersenam dan tempat riadah yang lebih selesa untuk penduduk setempat.
Beliau turut harap selepas penyiapan Taman Elopura Ujana di bekas tapak terminal bas ekspress, Batu 2 ½ yang dibiayai oleh Kerajaan, boleh meningkatkan kesedaran senaman dan kesihatan di Sandakan dalam usahanya untuk mewujudkan masyarakat yang cergas dan sihat.
No comments:
Post a Comment