Wednesday, 31 December 2014

Jokowi: Tumpu keluarkan mayat dulu

 

Presiden Indonesia Joko Widodo memerintahkan agar pihak berkuasa memfokuskan terlebih dahulu kerja-kerja mengambil mayat penumpang dan anak kapal pesawat AirAsia QZ8501 di laut Jawa.


Selain itu, beliau yang baru pulang daripada melihat lokasi penemuan mayat itu berkata, keadaan di kawasan itu juga berkabus dan berombak besar sekitar dua hingga tiga meter.

"Saya akan perintah fokus terlebih dahulu pada proses mengeluarkan mayat penumpang mahupun anak kapal secepat-cepatnya.

"Lokasinya berkabus dan ombak sangat besar antara dua sampai tiga meter," katanya pada sidang media di pusat krisis di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, Jawa Timur.

Selain itu, Joko atau dikenali sebagai Jokowi berkata lagi, pada esok pagi, kesemua kapal dan pesawat akan melakukan pencarian besar-besaran bagi proses mencari mayat.

Pada sidang media itu, Jokowi juga mengucapkan terima kasih pada pihak berkuasa serta sukarelawan termasuk nelayan yang turut membantu dalam melakukan proses pencarian.

'Terima kasih, bertabahlah'

Beliau juga turut berterima kasih kepada negara-negara yang terlibat iaitu Singapura, Malaysia dan Australia yang membantu mencari 155 penumpang dan tujuh anak kapal pesawat AirAsia yang hilang Ahad lalu.

Malah, beliau juga berdoa agar seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat supaya bertabah dalam menghadapi musibah tersebut.

"Terima kasih juga kepada negara sahabat yang telah juga ikut membantu dalam pencarian dari Singapura, dari Malaysia, dari Australia.

"Dan untuk seluruh keluarga penumpang dan anak kapal pesawat, sekali lagi saya turut merasa kehilangan atas musibah ini dan kita semua berdoa agar seluruh keluarga diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi musibah ini," katanya lagi.

Ahad lalu pesawat Airbus 320-200 itu berlepas dari Surabaya, Indonesia pada jam 5.20 pagi waktu tempatan (6.20 pagi waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Singapura dua jam kemudian, tetapi ia  terputus hubungan dengan kawalan trafik udara.

Memasuki hari ketiga pencarian hari ini, antara yang ditemui ialah mayat-mayat dan serpihan yang dipercayai daripada pesawat tersebut.(Malaysiakini)

No comments:

Post a Comment