Tuesday 17 July 2012

ASBA GIGIH PERJUANG SENI GAYA HIDUP




ANUGERAH....Helina menerima Anugerah Glitters & Glamours Malam Gala ASBA kategori Wanita Terbaik yang disampaikan Azizah.

Oleh : ABDUL BAKAR ESAH

KOTA KINABALU: Bidang seni, gaya dan kecantikan berpotensi menjadi sumber pendapatan yang baik jika diusahakan dengan tekun dan bersungguh-sungguh.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun berkata seni, gaya hidup dan kecantikan itu mempunyai kepentingan untuk menjana pendapatan dan seterusnya memajukan masyarakat.

“Selain memenuhi kehendak dan permintaan pasaran, keperluan sosial dan ekonomi masyarakat tidak diabaikan. Kita tidak ingin satu bentuk usaha berkisar keseronokan sementara semata-semata tetapi yang kita mahu ialah pulangan jangka panjang dan pada masa yang sama kita seronok melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malam Gala ASBA di Shangrila’s Tg Aru Resort di sini, malam kelmarin.

Majlis itu diadakan sempena penutupan Bengkel Asas Tatarias, Tatagaya & Solekan Kesan Khas Bagi Bidang Perfileman anjuran Persatuan Penggiat Seni Gaya dan Kecantikan (ASBA) atau Art Style & Beauty Activist Association (ASBA) baru-baru ini.

Hadir sama Setiuasaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Asnimar Sukardi; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Datuk Siti Sapoo Ahok; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, Ethong Terang dan Presiden yang juga pengasas ASBA, Ahmad Zabidi Zainol.

Azizah berharap ASBA akan menjadi persatuan yang turut memperjuangkan khidmat kebajikan dan sosial kepada masyarakat dalam bidang seni, gaya hidup dan kecantikan.

“Saya telah dimakluman bahawa ASBA yang baru berusia setahun lebih ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan penggiat seni, gaya hidup dan kecantikan tempatan melaui pelbagai aktiviti dan acara besar peringkat nasional.

“ASBA juga banyak terlibat bersama pada program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Istana Budaya, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta produksi–produksi professional drama, filem dan teater.

Beliau berkata dalam usaha melebarkan sayapnya di negeri Sabah, katanya ianya satu perkembangan positif kerana pengalaman dan kepakaran ASBA akan memberi manfaat kepada kumpulan sasar yang berminat menjadikan bidang tersebut sebagai sumber menjana pendapatan.

“Selain sebagai sebuah badan NGO, saya berharapan agar ASBA dapat membantu kerajaan melalui kementerian dalam menjayakan program kemasyarakatan dan kebajikan. Semoga apa yang diusahakan dapat membuka laluan ke arah salah satu transformasi dalam kerjaya baru dan bidang keusahawanan. Justeru itu saya menyeru aktiviti NGO seperti ini akan memberi fokus kepada pembangunan masyarakat yang lebih holistik meliputi semua kumpulan sasar; wanita, ibu tunggal, keluarga, belia, OKU dan sebagainya,” katanya.

Pada majlis yang diserikan dengan  pertunjukan fesyen, persembahan nyanyian dan tarian itu Azizah menyampaikan sijil kepada 38 pserta kursus.

Sementara itu empat peserta menerima Anugerah Khas Glitters & Glamours Malam Gala ASBA turut menerima trofi yang disampaikan Azizah kepada Siatim, Helina Aziz, Saiful Dawang dan Dearma Mak.

No comments:

Post a Comment