Musa
Hassan: “Jika jenayah tak teruk, tak perlulah menteri-menteri dan orang kaya
guna ramai ‘bodyguard’.”
Oleh : AMIN ISKANDAR
KUALA LUMPUR : Bekas Ketua
Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mendakwa kadar jenayah di Malaysia
sememangnya telah meningkat dan meminta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan
fakta sebenar kepada orang ramai.
“Rakyat perlu tahu perkara
sebenar, tidak perlu sorok-sorok tentang masalah jenayah. Sewaktu saya memikul
tanggungjawab sebagai KPN dahulu, saya sering sebut tentang peningkatan kadar
jenayah,” kata Musa dalam wawancara bersama The Malaysian Insider semalam.
Bekas KPN itu turut mengakui
kadar jenayah di Malaysia pada hari ini berada di tahap yang membimbangkan.
“Jika jenayah tak teruk, tak
perlulah menteri-menteri dan orang kaya guna ramai ‘bodyguard’.
“Kerana banyak jenayahlah
menteri-menteri dan orang-orang besar perlukan ‘bodyguard’,” kata Musa.
Musa Hassan telah berkhidmat
untuk Polis Di Raja Malaysia (PDRM) selama empat dekad dan memimpin pasukan
tersebut selama empat tahun semenjak tahun 2006 sebelum digantikan oleh Tan Sri
Ismail Omar pada 13 September 2010.
Walaupun berlakunya kes
serangan, rompakan dan penculikan, polis, Unit Pengurusan Prestasi dan
Pelaksanaan (Pemandu) dan kementerian dalam negeri (KDN) mengeluarkan statistik
kadar jenayah negara telah menurun semenjak kerajaan memperkenal Program
Transformasi Kerajaan (GTP).
Unit Pencegahan Jenayah
Pemandu dalam majlis bersama media semalam — langkah untuk mengurangkan
kerisauan orang ramai, menyatakan statistik kadar jenayah menurun sebanyak 10.1
peratus pada lima bulan pertama tahun ini.
Sebelum ini, Unit Pencegahan
Jenayah Pemandu telah mengeluarkan angka untuk menunjukkan penurunan indeks
jenayah sebanyak 11.1 peratus dari 2010 sehingga tahun lalu manakala jenayah
jalanan menurun 39.7 peratus pada tempoh sama.
Pemandu turut merayu agar
media membantu mereka mengubah persepsi rakyat dan mendesak agar laporan
seimbang diberikan.
Ketika ditanya mengenai
kenyataan Pemandu berkenaan statistik jenayah yang menurun, Musa mencadangkan
kerajaan agar melantik pihak ketiga yang lebih bebas seperti universiti untuk
memberikan data seperti statistik jenayah kerana mereka lebih bebas.
“Sewaktu zaman saya dulu,
saya minta Universiti Sains Malaysia untuk keluarkan statistik jenayah.
“Ini turut dilakukan oleh
pasukan polis di Amerika yang sering menggunakan universiti agar data yang
diperolehi tepat dan tidak menyorokkan apa-apa fakta,” kata Musa lagi.
Menurut bekas KPN itu lagi,
kadar jenayah diseluruh dunia meningkat akibat daripada kemerosotan ekonomi
dunia akibat dariapada kemelesetan ekonomi yang berlaku di Eropah.
“Globalisasi menyebabkan
sukar untuk sesebuah negara untuk mencegah berlakunya jenayah.
“Globalisasi menyebabkan
ramai orang luar masuk ke Malaysia, yang kita tak tahu latar belakang dia,
‘especially’ dari Nigeria tentang kehidupan dadah mereka.
“Ini adalah diantara punca
berlakunya peningkatan jenayah dalam negara,” kata Musa lagi.
Untuk mencegah masalah
jenayah yang berleluasa hari ini, bekas KPN mencadangkan agar polis membuat
penambahbaikan dari segi mengubah teknik dalam memerangi jenayah sekarang ini
kepada ‘intelligence procurement’ atau ‘perolehan risikan’.
“Kita perlu mendapatkan
maklumat-maklumat risikan terdahulu.
“Jika maklumat risikan polis
bagus dari segi perolehannya, mempunyai hubungan rapat dengan penguatkuasa luar
negara, maka kita boleh mengetahui awal berkenaan latarbelakang seseorang dan
boleh memantau jika mereka penjenayah.
“Sama seperti dalam negara
kita, kita perlu pantau geng-geng jahat dan penjenayah-penjenayah ni,” kata
bekas KPN itu lagi. (TMI)
No comments:
Post a Comment