Wednesday 25 July 2012

S’GOR BAYAR TALAM LEBIHAN RM1.9 JUTA




Oleh : FAZY SAHIR

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor kini berdepan pula dengan dakwaan membeli unit pejabat dari syarikat pemaju perumahan Talam Corporation Sdn Bhd (kini Trinity Corporation) dengan membuat bayaran lebihan sebanyak RM1.9 juta berbanding harga rizab lelong.

Dakwaan ini dibuat oleh Ahli Parlimen Labis dan juga Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong pada sidang media di sini hari ini.

Beliau yang juga timbalan menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mendakwa kerajaan negeri membeli lima unit pejabat itu dengan harga 327 peratus lebih tinggi daripada harga rizab lelong pada tahun 2010.

“Berdasarkan harga rizab lelong lima unit pejabat itu boleh dibeli dengan harga RM832,000 berbanding jumlah yang dibayar sebanyak RM2,724,000. Ini bermakna kerajaan Selangor bayar lebih sebanyak RM1,892,000 kepada Talam,” katanya.

Lima unit pejabat itu terletak di Menara Pandan, Pandan Indah Cheras. Para pemberita turut dibawa ke pejabat itu di Tingkat 17 bangunan berkenaan namun mendapati ianya berkunci.

Menurut Chua, unit pejabat yang dibeli pada tahun 2010 itu mempunyai keluasan 8,077 kaki persegi dengan harga purata RM337.25 sekaki per segi.

Unit-unit tersebut katanya merupakan sebahagian dari pembelian aset berjumlah RM600 juta oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor daripada Talam.

Harga lelong

“Pada 28 Julai 2010, notis lelong untuk lima unit pejabat di Tingkat 18, Blok A telah dikeluarkan. Purata harga lelong adalah di antara RM101 hingga RM103 sekaki persegi dan saiz unit pejabat pula di antara 676 kaki persegi hingga 2,752 kaki persegi.

“Namun pada 27 Januari 2011, lima unit pejabat yang sama tadi telah diisytihar untuk dilelong bagi kali kedua dengan harga diskaun menjadikan harga purata lelong telah jatuh sehingga ke paras RM81 sekaki persegi hingga RM83 sekaki persegi.

“Ini menunjukkan bahawa usaha untuk melelong lima unit pejabat pada 28 Julai 2010 tidak berjaya dan tiada pembida yang sanggup bayar harga antara RM101 sekaki persegi hingga RM103 sekaki persegi,” dakwa beliau.

Beliau berkata pembelian lima unit pejabat itu menimbulkan pelbagai persoalan ekoran kegagalan menjual semula unit-unit itu selepas dua tahun sedangkan sidang Dewan Undangan Negeri pada Julai 2010 diberitahu bahawa unit-unit pejabat itu mudah dijual.

“Bagaimana kerajaan Selangor boleh bersetuju dengan harga RM337.25 sekaki persegi untuk Tingkat 17, sementara Tingkat 18 pula telah ditampal notis lelong dengan harga antara RM101 hingga RM103 sekaki persegi dan tiada pembida.

“Jadi apa bentuk penilaian harga yang menjadi rujukan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk pembelian aset-aset ini di Menara Pandan,” soalnya.

Chua sebelum ini mendedahkan pelbagai isu berhubung urusniaga kerajaan negeri dengan Talam di mana beliau mendakwa berlaku kepincangan, terutama mengenai pembelian aset-aset syarikat itu.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat menepis dakwaan Chua itu dan berlaku polemik serta tuduh menuduh terutama melibatkan Chua dengan Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua yang nampaknya tidak berkesudahan. (FMT)

No comments:

Post a Comment