Sunday, 18 July 2010

JAMBATAN PUNCA KEMATIAN REMAJA 15 TAHUN?




MOTORSIKAL......Masiung melihat motorsikal yang ditunggang mangsa dan terjunam ke bawah jambatan sehingga menyebabkan kemalangan maut.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

SEORANG remaja lelaki berusia lingkungan 15 tahun maut ketika motorsikal yang ditungganginya terjunam dari atas jambatan setinggi 200 kaki di kampung Malagatan, Tongod, kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Jerelly Jefri yang masih menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod dalam tingkatan 3 dikatakan pergi ke kedai untuk membeli barang sekitar jam 8.00 malam.

Namun oleh kerana dia tidak pulang sehingga jam 12 tengah malam menyebabkan ibubapanya merasa bimbang apatah lagi secara kebetulan beberapa orang kampung yang pulang dari kerja dan melalui jambatan tersebut terdengar bunyi enjin motor di bawah jambatan.

Gerakan mencari dilakukan dan ketika mereka menyuluh dengan lampu picit mereka mendapati mangsa terbaring di tebing sungai dan dihimpit oleh motorsikal tersebut.

Krew Sabahkini.Net yang mengikuti rombongan ADUN Kuamut melawat ke rumah bapa mangsa di Kampung Malagatan Kecil, Tongod sempat menemu ramah bapa mangsa, Jefri Emir, 45, yang menceritakan mengenai insiden tersebut.

Kata Jefri, anaknya mati kerana terdapat beberapa bahagian tubuhnya cedera parah akibat patah tengkok, patah tangan dan patah kaki sehingga berlaku pendarahan dalaman dan tidak dapat diselamatkan.

ADUN Kuamut, Masiung Banah yang sempat melawat ke tempat kejadian mendapati jambatan tersebut memang tidak selamat untuk digunakan kerana terlalu usang sehingga menyebabkan kemalangan yang menimpa mangsa.

Sehubungan itu, Masiung berjanji akan membaik pulih jambatan berkenaan yang menjadi laluan utama sepanjang 100 kaki dalam waktu terdekat bagi memastikan tidak lagi menelan korban.

Masiung yang menghulurkan bantuan peribadi untuk meringankan beban dan kesedihan kehilangan anak tersayang meminta ibu bapa dan keluarga mangsa bersabar dengan musibbah yang mereka alami.

No comments:

Post a Comment