Sunday, 11 December 2011

5.2 JUTA RAKYAT DIJANGKA MOHON BR1M



SEKITAR 5.2 juta rakyat Malaysia akan mendaftar untuk mendapatkan bantuan kewangan RM500 dari program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Sri Ahmad Husni Hanadzlah.

Kumpulan sasaran itu terdiri daripada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 bagi satu isi rumah serta ramai tangunggan, warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan ahli keluarga yang berdaftar di bawah program e-Kasih.

“Atas tujuan untuk menilai pendapatan sebenar keluarga, hanya ahli keluarga yang bekerja sahaja layak untuk mengisi borang permohonan, bukan seluruh anggota keluarga,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang BR1M hari ini.

Dipetik Bernama Online, Ahmad Husni (gambar) berkata pemprosesan para pemohon akan dilakukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan permohonan yang tidak layak boleh dikenal pasti melalui rekod.

“LHDNM mempunyai rekod pendapatan individu yang telah mengisytiharkan jumlah pendapatan mereka dan sebarang permohonan yang tidak layak boleh dikenal pasti dengan serta merta,” katanya.

Berdasarkan sasaran yang telah ditetapkan, beliau berkata kerajaan telah menyediakan borang pendaftaran lebih daripada yang diperlukan dan juga tidak mengenakan sebarang cas untuk mendapatkan borang permohonan bantuan kewangan tersebut.

“Setakat hari ini, selain memuat turun dari laman web Kementerian Kewangan, sebanyak 862 kaunter telah dibuka di seluruh negara untuk mendapatkan borang permohonan dan 415 daripadanya adalah di sekolah-sekolah yang terpilih,” katanya.

Selain itu, Ahmad Husni juga berkata pembayaran akan dibuat pada pertengahan Januari 2012, tetapi, format pembayaran bantuan kewangan belum diumumkan lagi kerana fokus yang ingin diberikan kepada proses pendaftaran.

Pendaftaran permohonan BR1M akan bermula pada hari ini sehingga 10 Januari depan dan sebarang pertanyaan boleh merujuk kepada Talian Hotline BR1M, 1-800-222-500.

No comments:

Post a Comment