Wednesday, 14 December 2011

KE MANA WAKIL SABAH DALAM SKUAD HARIMAU MUDA?



Oleh : MOHD FIRDAUS MUHAMMAD NOOR

PAS Sabah hari ini membangkitkan persoalan mengenai ketiadaan pemain Sabah dalam skuad bola sepak negara, ‘Harimau Malaya’ dan ‘Harimau Muda’.

Ketua Penerangan PAS Sabah, Hisammuddin Sulaiman dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Unit Media PAS Sabah melahirkan dukacita kepada pemain bola sepak tempatan Sabah yang tidak mendapat tempat, bukan sahaja mewakili negeri malah negara secara keseluruhannya.

“Kami, di peringkat PAS Sabah melahirkan dukacita dengan perkembangan ini. Bukan atas faktor layak atau tidak, tapi apa yang diusahakan barisan Menteri Sukan Sabah dan Ahli Parlimen Sabah untuk melihat situasi ini, dan jangan memandang ianya suatu yang bersifat rasis,” katanya.

Beliau turut mempersoal kelibat wakil rakyat Sabah terutama ahli Parlimen dan Menteri Sukan Sabah yang ‘kurang berminat’ dengan bola sepak dan lebih kepada isu nasional yang lain.

“Ini hak anak Sabah yang perlu dipertimbangkan, sama ada baik mahupun sebaliknya. Usaha ke arah ini perlu ada. Bukan kita mahu mendabik dada kita ada pasukan dan pemain terbaik. Tapi, perkembangan ini merupakan sesuatu yang tidak sihat berlaku. Tiada salah sekiranya gabungan antara negeri-negeri di Malaysia ini termasuk Sabah membentuk pasukan kebangsaan muda negara,” ujarnya.

Katanya lagi, anak muda Sabah yang mempunyai potensi dan bakat dalam bola sepak tidak mempunyai jalan untuk mengetengahkan bakatnya untuk ditonjol dan diasah peringkat negeri.

“Ada di kampung-kampung, mereka ini boleh pergi jauh. Tapi jauh ke arah mana? Kita sendiri tidak tahu. Apa wakil rakyat Sabah melihat ini satu cabaran atau satu peluang?” katanya.

PAS katanya, bersama Pakatan Rakyat akan memberikan suntikan baru bukan sahaja kepada anak muda Sabah mengetengahkan bakat dalam dunia bola sepak, malah akan memberikan perkhidmatan yang jauh lebih baik berbanding UMNO dan Barisan Nasional yang ada pada hari ini.

“Kita tidak mahu lihat lagi, Sabah berada seolah-olah dianaktirikan oleh kerajaan yang sedia ada,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment