Saudara Pengarang,
SAYA pernah melaporkan kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengenai sistem longkang yang kurang berkesan di kawasan perumahan saya, Blok 164, Fasa 5B, Taman Indah Jaya, Sandakan.
Setelah dua kali membuat aduan di E-Aduan, akhirnya MPS datang untuk membersihkan kawasan longkang tersebut tetapi malangnya, mereka hanya memotong rumput di bahagian tepi longkang sahaja; manakala lumpur dan pasir di dalam longkang dibiarkan begitu sahaja.
Keadaan ini amat menjengkelkan kerana adakah duit pembayar cukai digunakan untuk mengupah pekerja sebegitu? Setiap kali berlakunya hujan lebat ataupun hujan berpanjangan, air longkang di hadapan rumah saya akan naik dan menutup jalan raya.
Kejadian paling teruk pernah berlaku awal tahun ini apabila banjir berlaku dan air banjir memasuki rumah saya dan rumah jiran jiran saya. Setelah sekian lama mengikut perkembangan dalam Sabahkini.net, saya mendapati aduan yang disalurkan melaluinya lebih berkesan daripada mengajukan terus masalah kepada MPS. Saya amat berharap jika Sabahkini.Net dapat membantu saya mengatasi masalah ini.
Saya terlalu khuatir kerana Jabatan Metrologi menjangkakan air hujan pada hujung tahun ini adalah 40% lebih banyak daripada awal tahun ini. Musim tengkujuh sudah bermula dan saya amat mengharapkan agar kejadian banjir tidak akan berlaku lagi pada hujung tahun ini ataupun awal tahun depan.
Salam Hormat,
RODNEY TAN
No comments:
Post a Comment