Thursday 8 December 2011

OPS PINTU CAPAI SASARAN DI LAHAD DATU



POLIS yakin dapat menyelesaikan lapan kes melibatkan kejadian pecah rumah dan kedai yang berlaku pada sekitar akhir bulan November lepas di daerah ini, dengan tertangkap tiga lelaki, yang mana dua daripadanya disyaki bertindak sebagai pembeli barang curi.

Ketua Polis Daerah ini, Superitenden Shamsudin Mat berkata, ketiga-tiga suspek yang kesemuanya merupakan warganegara asing itu ditahan dalam dua tangkapan berasingan menerusi ‘Ops Pintu’ yang dilancarkan polis daerah ini, berikutan hasil kerjasama dan maklumat awam.

Katanya, suspek pertama berusia 19 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah dan kedai itu ditahan pada petang Jumaat lalu, ketika berada di kawasan Dam.

“Penangkapan lelaki itu membawa kepada kejayaan tangkapan dua lagi lelaki berusia 30 dan 60-an yang disyaki bertindak sebagai pembeli barang-barang curi tersebut.

“Kedua-dua mereka ditangkap pada kira-kira jam empat petang di kawasan Kampung Pisang,”katanya dalam sidang media di sini, semalam yang turut dihadiri oleh Pegawai Penyiasat Kanan, Cif Inspektor Ladamah Sulaiman dari Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Lahad Datu.

Menurut Shamsudin, turut dirampas beberapa barangan yang disyaki dicuri antaranya sebuah televisyen bersaiz 21 inci, mesin generator(1), pam air(1) alat pemecah konkrit (1), pencanai (1), dua buah tong speaker dan alat pemain DVD.

Katanya, kesemua nilai bagi barangan yang dirampas itu adalah dianggarkan berjumlah kira-kira lebih RM7,000. Dalam pada itu katanya,ketiga-tiga lelaki terbabit itu kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 457 dan 411 Kanun Keseksaan.

“Manakala semua barangan rampasan diserah ke Balai Polis Lahad Datu untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Tambah Shamsudin lagi, pihaknya kini juga sedang mengesan dua lagi suspek berusia 20-an yang masih bebas kerana dipercayai turut mempunyai kaitan dengan kejadian kes pecah rumah dan kedai.

Menyentuh hal berkaitan, beliau juga turut menasihatkan orang ramai khususnya masyarakat di daerah ini agar berhati-hati dan jangan membeli sekiranya mereka ditawarkan oleh pihak-pihak tertentu untuk membeli sesuatu barangan yang dijual dengan harga murah dan tidak munasabah kerana itu mungkin barangan yang dicuri.

Katanya, laporkan kepada polis jika ada kejadian seperti itu agar siasatan dapat dilakukan.

“Pastikan sesuatu barangan yang dibeli mempunyai resit rasmi daripada penjual yang berdaftar dan simpan resit tersebut sebagai rujukan.

No comments:

Post a Comment