Saudara Pengarang,
SAYA ingin memohon jasa baik Sabahkini.net untuk mengwar-warkan seruan rakyat ini. Saya, salah seorang penduduk Kg Gum-Gum, Batu 16, Sandakan ingin mengutarakan permintaan penduduk kampung yang sekian lamanya tidak diendahkan oleh Wakil Rakyat dan Kerajaan Barisan Nasional.
Permintaan kami adalah agar kerajaan membina beberapa bonggol jalan di hadapan SK Gum Gum kerana kadar kesibukan jalan Kg GumGum Kecil semakin meningkat; apatah lagi kebanyakan kenderaan dipandu terlalu laju. Walaupun ada tanda Zon had laju diletakkan dan zon sekolah iaitu cat kuning di atas jalan, tetapi langsung tidak diendahkan oleh pengguna jalan tersebut.
Permintaan ini telah lama diutarakan oleh Pengerusi JKKK lama yang telah meninggal dunia sehinggalah kepada Pengerusi JKKK baru, namun menurut makluman yang disampaikan beliau, JKR tidak meluluskan pembinaan bonggol jalan berkenaan dengan alasan belum ada kes kemalangan.
Untuk makluman pembaca Sabahkini.net, kes kemalangan telah berlaku baru-baru ini melibatkan kanak-kanak berusia 8 tahun telah dilanggar motorsikal yang dipandu laju berdekatan SK Gum Gum, lokasi cadangan bonggol jalan dicadangkan.
Dalam mesyuarat PIBG SK Gum Gum baru-baru ini, permintaan ini diajukan lagi, tetapi Pengerusi JKKK masih memberikan alasan yang sama, JKR tidak luluskan sekalipun sudah ada kemalangan berlaku.
Sebagai pengundi dan pembayar cukai, kami teramat sedih dengan layanan Kerajaan BN yang melaungkan cogankata “Rakyat di dahulukan, pencapaian diutamakan”; tetapi JKR tidak pernah mengendahkan permohonan kami demi untuk menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa, terutama ketika kanak-kanak berpusu-pusu keluar daripada sekolah.
Kami amat hairan dan tercengang, kenapa JKR membenarkan pembinaan bonggol jalan di hadapan kediaman Ketua Menteri sedangkan tidak langsung diperlukan, berbanding di SK Gum Gum.
Apakah kerajaan menanti terbinanya ‘Pusara di Jalan Raya’ sebagaimana ADUN Gum Gum, ‘Maharaja Zakaria Edris’ pernah membina ‘Pusara di Masjid Gum Gum’ sebelum kerajaan bersetuju membina bonggol yang amat diperlukan demi keselamatan murid, guru serta ibubapa murid SK Gum Gum?
Sehubungan itu, kami memohon jasa baik Sabahkini.net untuk membantu kami mengutarakan permintaan kami, sekaligus membuat liputan agar kerajaan sekarang, terutama Wakil Rakyat Gum Gum tahu bahawa penduduk kampung Gum Gum bukannya TIDUR!
Salam Hormat,
AJK PIBG KECEWA
No comments:
Post a Comment