Tuesday, 13 December 2011

RAKYAT SABAH BERHAK MILIKI PARABOLA



HADIAH….Jake diiringi isteri, Datin Doreen dan AJK PBS menyerahkan hadiah krismas sebagai tanda ingatan kepada penghuni wad hospital daerah.

Oleh : KENINGAU PRESS

PARTI Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.34 Liawan membantah sekerasnya tindakan yang dilakukan oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas hampir 200 unit parabola di beberapa daerah di negeri ini dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar.

Ketua Bahagian PBS N.34 Liawan, Datuk Jake Nointien berkata, PBS menentang tindakan itu kerana dibuat tanpa sebarang notis serta tanpa mengambil pertimbangan kesusahan penduduk pedalaman mendapat siaran ASTRO dan TV.

Menurut Jake, jika memiliki parabola itu salah, KDRM wajib memberitahu secara jelas dan jika salah dan berikan hukuman mengikut Undang-Undang yang berkuatkuasa.

Namun katanya, merampas parabola dari rumah ke rumah tanpa sebarang notis adalah satu tindakan yang kurang wajar dan perlu dihentikan oleh KDRM.

“Kita pun tahu siaran TV kita di sini bukannya terang, malahan hujan sikit pun siaran sudah tergendala. Kami menyokong penuh kenyataan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr.Yee Moh Chai yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat mengenai parabola,” kata Jake.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan parti itu ke wad lelaki dan wad wanita Hospital Daerah sempena sambutan Hari Krismas.

Menurut Jake adalah tidak adil kepada penduduk pedalaman kerana siaran satelit yang ada di kawasan tersebut juga sering berhadapan dengan masalah siaran tergendala hanya disebabkan masalah hujan.

“Kita hanya dibenarkan menggunakan Astro tetapi kita juga minta Astro jangan sewenang-wenangnya menaikkan caj perkhidmatan yang membebankan rakyat khususnya di kawasan pedalaman,“ kata Jake.

SAMPAIKAN….Jake bersama AJK PBS Liawan menyampaikan oleh-oleh kepada Pengarah Hospital Daerah, Dr.Adnan Musa Beldram.

Yee baru-baru ini berkata polisi kerajaan persekutuan tidak membenarkan rakyat di negara ini menggunakan siaran satelit lain seperti parabola tetapi hanya membenarkan menggunakan siaran satelit Astro sahaja adalah satu tindakan tidak wajar sama sekali dan tidak patut diteruskan kerana rakyat berhak memilih saluran mana yang mereka perlu tonton.

Mengenai program yang dijalankan bersama AJK Bahagian, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita itu, Jake berkata, ia adalah bertujuan untuk meraikan sambutan itu bersama mereka yang kurang bernasib baik kerana ditahan di hospital atas masalah kesihatan.

“Kita datang bertemu dengan pesakit, memberikan keceriaan kepada mereka dan sebagai tanda kita mengingati mereka (pesakit),” kata Jake yang menyampaikan sebahagian besar daripada 58 hamper sumbangan PBS sempena lawatan itu; yang turut disertai oleh Pengarah Hospital, Dr.Adnan Musa Beldram dan kakitangan beliau.

Sementara itu beliau mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk mengunjungi sambutan Rumah Terbuka Hari Krismas dan Tahun Baru PBS N.34 Liawan pada 31 Disember di Dewan Masyarakat Keningau bermula jam 11 pagi sehingga jam 3 petang.

No comments:

Post a Comment