Monday, 19 December 2011

RAKYAT SABAH NIKMATI RM45 BILLION PROJEK PETRONAS



Oleh : NEWMOND TIBIN

BERIKUTAN pelaburan besar Petronas di Sabah, ribuan penduduk tempatan yang tinggal di sepanjang jalur Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang dijangka menikmati limpahan ekonomi dari projek Petronas.

Sehubungan itu, para pemilik tanah, khususnya yang tinggal di sepanjang jalur itu dinasihati menukar hak milik tanah anak negeri kepada tanah komersil atau lot perindustrian ‘di mana yang mungkin’ bagi mengambil kesempatan dari ledakan industri minyak dan gas itu.

Bendahari Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (SBCC) Roselan Johar Mohamed berkata langkah itu akan membolehkan mereka menggunakan hak milik tanah masing-masing sebagai, "bahagian masing-masing menggantikan modal bagi menyertai perkongsian perniagaan dengan pihak yang berniaga dengan Petronas".

"Ini adalah satu cara untuk mendapatkan pendedahan atau pengalaman melakukan perniagaan dengan Petronas, yang penting di kawasan Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang."

"Kecenderungan positifnya berbanding dengan kuasa berbelanja akan menyediakan pemangkin yang besar bagi menghasilkan lebih banyak limpahan yang termasuk mewujudkan rakyat yang menghargai konsep satu Malaysia," katanya kepada Bernama di sini.

Syarikat minyak negara, Petronas telah memutuskan untuk melaksanakan projek minyak dan gas hiliran dan huluan, yang melibatkan pelaburan modal yang disatukan sebanyak RM45 bilion dan ini termasuk termasuk Terminal Minyak Gas Sabah, Kilang Gas Menggunakan Kuasa Ammonia Kimanis dan Projek Kilang Urea di Sipitang.

Roselan, yang juga Pengerusi Majlis Perniagaan BIMP-EAGA (Cawangan Sabah), berkata, dengan pertambahan penduduk di kawasan Kimanis dan Sipitang, akan mendorong kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan.

"Sekolah, hospital dan klinik baharu perlu dibina. Sektor swasta pastinya akan mencari jalan untuk mendapatkan lebih banyak kontrak dan mewujudkan kedai dan cawagan perincitan yang lain.

"Saya pasti kesemua bank dan syarikat insurans yang utama kini sedang mencari tapak yang positif bagi mewujudkan cawangan masing-masing di Kimanis dan Sipitang.

"Rakyat Sabah dan Malaysia yang bersyukur tidak sepatutnya menukar kerajaan apabila mereka hampir mencapai apa yang diingini," katanya.

Di segi pengangkutan laut, Roselan berkata seorang tokoh industri perkapalan Sabah, berkata pelabuhan di Sabah akan turut menyaksikan peningkatan bilangan kapal ke pelabuhan masing-masing.

"Jabatan Marin dan Polis Marin, polis dan pasukan keselamatan yang lain juga kemungkinan membuka pejabat baharu di Kimanis dan Sipitang bagi menguatkuasakan undang-undang.

"Dalam tempoh 10 tahun akan datang, penduduk Kimanis dijangka meningkat 10 kali atau lebih, di mana dewan kita menjangka tarif kuasa akan diturunkan bagi membolehkan Sabah menarik pemain industri yang lain," katanya.

Roselan berkata ini penting bagi Sabah kerana Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman kini turut memberi penekanan pada proses perindustrian.

"Musa berkata perindustrian baik bagi perniagaan eksport kita di mana melalui usaha mengeksport, wang akan memasuki negeri ini. Ini, sekaligus akan mencatatkan imbangan pembayaran yang positif," katanya, yang memetik kata-kata Musa.

No comments:

Post a Comment