KOTA KINABALU: Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mewujudkan sebanyak 303 Kampung Tanpa
Wayar di seluruh Sabah.
Pembantu Menteri Pembangunan
Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Jainab Ahmad berkata,
daerah-daerah yang mendapat perkhidmatan WiFi itu ialah Penampang, Papar,
Tuaran, Kota Belud, Ranau, Kota Marudu, Pitas, Keningau, Nabawan, Sipitang,
Beaufort, Kuala Penyu, Kinabatangan, Beluran, Tongod, Kunak, Kota Kinabalu,
Tawau, Tambunan, Tenom, Semporna dan Kudat.
“Teknologi internet jalur
lebar berkelajuan tinggi WiMAX pula hanya boleh dinikmati di Kota Kinabalu,
Tawau dan Sandakan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan
negeri di Dewan Undangan Negeri, di sini, kelmarin.
Beliau menjawab soalan Ahli
Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan Kamarlin Ombi yang bertanya sejauh mana
kementerian dan agensi pusat yang bertanggungjawab merealisasikan projek jalur
lebar berkelajuan tinggi dan kampung Wifi di Sabah dan berapa buah kampung
telah memperolehi perkhidmatan Wifi di negeri ini.
Jainab berkata, SKMM juga
bercadang untuk mewujudkan projek-projek jalur lebar di kawasan bandar atau
pinggir bandar terpilih tahun ini.
“Kawasan perumahan dan
pinggir bandar yang kurang mendapat liputan juga akan dijadikan sebagai lokasi
baru untuk pengwujudan Pusat Internet 1Malaysia.
“Manakala perpustakaan
daerah dan negeri yang terletak di kawasan bandar akan dijadikan sebagai
Perpustakaan Jalur Lebar Komuniti,” katanya.
Beliau berkata, penyediaan
infrastruktur High Speed Broadband (HSBB) iaitu perkhidmatan Internet Jalur
Lebar berkelajuan tinggi, buat masa ini hanya tertumpu di kawasan industri
berimpak tinggi seluruh negara.
“HSBB sedang dalam
pelaksanaan di kawasan Menggatal dengan jumlah 505 sambungan dan akan siap
tahun ini,” katanya.
Jainab berkata, bagi
merealisasikan projek jalur lebar berkelajuan tinggi dan Kampung Wifi di negeri
ini, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) melalui agensinya
SKMM telah dan sedang melaksanakan pelbagai program.
“Antaranya ialah Pusat
Internet 1Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Jalur Lebar
Komuniti, Perpustakaan Jalur Lebar Komuniti yang akan ditempatkan di
Perpustakaan Desa, Mini Pusat Jalur Lebar Komuniti, Kampung Tanpa Wayar dan
kemudahan telefon mudah alih berteknologi 3G,” katanya.
No comments:
Post a Comment